Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Kementerian Alam Sekitar dan Air (MEWA) di Pejabat MEWA, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 14 SEPTEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Pasukan Petugas Khas Cegah Jenayah Alam Sekitar akan memulakan operasi bulan depan selepas cadangan penubuhannya diumumkan Isnin minggu oleh Kementerian Alam Sekitar danAir (KASA).

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan itu dicapai susulan Mesyuarat Khas KASA dan Kementeran Dalam Negeri yang berlangsung hari ini.

Katanya, ia akan melibatkan kerjasama antara unit penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Jabatan Biokeselamatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Unit yang ditubuhkan secara pentadbiran ini dijangka akan dapat beroperasi pada awal Oktober ini.

“KASA akan mengadakan perbincangan susulan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan supaya unit ini dapat diperkukuhkan kerana ianya akan melibatkan pertambahan perjawatan dan peruntukan kewangan tambahan,” katanya dalam sidang media di kementeriannya pagi tadi.

Turut hadir Timbalan Pengarah Pendakwaan dan Undang-undang Jabatan Siasatan Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrashah Wahid.

Menurut Tuan Ibrahim, mesyuarat juga bersetuju PDRM diberi kuasa mengambil tindakan segera ke atas penjenayah-penjenayah alam sekitar menerusi penurunan kuasa Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Ahli Parlimen Pas Kubang Kerian itu, setakat ini perwakilan kuasa Akta Biokeselamatan 2007 telah diberikan kepada PDRM sambil merakamkan penghargaan kepada KDN kerana memberi kerjasama sehingga tertubuhnya unit khas itu.

Ujar beliau, dengan tertubuhnya unit ini, kerajaan berharap akan dapat dengan lebih efektif mencegah, membendung dan menyelesaikan kes jenayah alam sekitar
terancang di Malaysia.

Ditanya mengenai jumlah keanggotaan unit petugas khas itu, jelas Timbalan Presiden Pas itu lagi, ia bergantung kepada keadaan dan keperluan kes manakala kerjasama awal denga polis dan SPAN memadai buat masa ini.

Namun katanya, pihak berkuasa tempatan tidak terlibat dengan unit berkenaan memandangkan unit bawah Jabatan Alam Sekitar PBT mempunyai unit tersendiri dan tertakluk kepada akta sedia ada.

“Setiap PBT ada kuasa sendiri kalau kita berkerjasama PBT ia tidak sesuai dengan hasrat kita sebagai kumpulan elit yang dikhususnya untuk jenayah alam sekitar agak berat,” katanya.

Beliau turut ditanya mengenai cadangan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador untuk mengklasfikasikan jenayah alam sekitar sebagai jenayah terancang untuk disiasat dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Katanya, ia bergantung kepada siasatan kes kerana ia melibatkan polis yang mempunyai akta dan Kanun Keseksaan sendiri serta kementerian turut mempunyai akta tersendiri yang mana pendakwaan perlu dibuat.

“Kita juga sedang menyemak pindaan akta serta kompuan lebih berat berkaitan alam sekitar dan akan membawa ke sidang Dewan Rakyat akan datang.

“Malah polis akan terlibat di semua peringkat iaitu dari Bukit Aman hingga negeri dan daerah seluruh negara iaitu penglibatan menyeluruh,” katanya. – MalaysiaGazette