SEMEMANGNYA faktor anak tempatan sentiasa menjadi keutamaan serta bahan kempen ketika pilihan raya termasuk dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Malah paradigma politik Sabah yang sering mengalami pemerintahan yang bersilih ganti serta mengalami aktiviti  ‘lompat parti’ menyebabkan ramai penganalisis menyarankan supaya calon PRN kali perlu daripada kalangan personaliti politik berpengaruh.

Pengamatan para penganalisis mendapati sekiranya personaliti politik itu mampu untuk menyantuni keperluan masyarakat tempatan – faktor orang tempatan atau bukan tidak relevan lagi.

Rakyat Sabah memerlukan mereka berpengalaman bagi mengembalikan kejayaan pada masa depan memandangkan ketika pentadbiran Warisan, negeri itu mencatatkan pertumbuhan KDNK terendah dalam sejarah dan kadar dengan pengangguran meningkat. 

Rakyat Sabah hari ini sudah hilang punca pendapatan mereka manakala kerajaan pula buntu kerana tidak ada sumber kewangan yang kukuh.

Bukankah dalam keadaan sebegini genting Negeri Di Bawah Bayu memerlukan pemimpin berkaliber yang mempunyai pengalaman luas menangani krisis dengan bijak, efisien tanpa banyak beri alasan mahupun menuding jari sepanjang masa?

Jadi, ada juga hikmahnya dengan PRN kali ini supaya memudahkan rakyat di negeri ini memilih pemimpinnya yang betul bukan yang terus memudaratkan keadaan untuk tempoh lima tahun akan datang ini.

Baru-baru ini penulis yang berkesempatan mengikuti proses penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N30 Bongawan di Parlimen Kimanis berkesempatan berinteraksi dengan empat calon yang bertanding.

Lebih menarik, tiga daripada calon dari parti-parti berlainan itu sebenarnya mempunyai talian kekeluargaan termasuk anak saudara dan bapa saudara.

Ketiga-tiga mereka ialah penyandang kerusi Bongawan dari parti Warisan, Dr Daud Yusuf, Ag Lahap Ag Bakar @ Ag Syairin dari Barisan Nasional (BN) dan seorang lagi, anak saudara kepada dua calon ini, Mohd Azree Abd Ghani dari Parti Liberal Demokratik (LDP).

Mereka pula berlawan menentang mantan Ahli Parlimen Kimanis juga bekas Menteri Luar selama sembilan tahun, Datuk Seri Panglima Anifah Aman dari Parti Cinta Sabah (PCS).

Malah Dr Daud ketika di tanya wartawan turut mengakui tentang pertalian kekeluargaan itu namun meminta untuk tidak menjadikan itu sebagai isu.

Sebaliknya beliau melihat kesemua mereka sebagai individu yang memiliki kelebihan masing-masing dalam bergelar wakil rakyat untuk Bongawan.

Baiklah, dalam konteks politik sebegini siapakah wajar digelar calon tempatan?

Senario politik ini sebenarnya menguatkan lagi analisis mengenai calon tempatan sebelum ini.

Bongawan memerlukan personaliti politik berwibawa untuk mengemudi mereka dalam haluan yang betul.

Secara kebetulan pula salah satu pilihan yang di tawarkan ini mempunyai kelebihan Anifah ketika menjadi wakil rakyat Kimanis dengan track record yang disegani.

Untuk menolak calon sebegini atas dasar lokaliti adalah ibarat ‘kerja orang gila’ atau tidak masuk akal kerana Anifah di Kimanis telah membuktikan mamu membawa pembangunan dan pengundi Bongawan wajar menikmati kemakmuran yang sama.

Pemangkin kepada kemajuan di Kimanis adalah Terminal Minyak & Gas yang di bawa oleh Anifah ketika menjadi Ahli Parlimen Kimanis.

Terminal di Kimanis itu tidak akan wujud hari ini tanpa Anifah.

Untuk makluman, Petronas ingin menggunakan fasiliti mereka di Bintulu, Sarawak untuk memproses hasil galian yang diperoleh daripada kawasan Kimanis dan sekitarnya.

Juga kehebatan serta bakat semulajadi Anifah untuk melakukan rundingan, perbincangan dan diplomasi ketika berurusan dengan Petronas yang akhirnya ‘akur’ kepada permintaannya membina terminal tersebut.

Limpahan ekonomi daripada projek terminal tersebut dapat dirasai di kawasan sekitarnya sekitarnya sehingga hari ini.

Apa yang Anifah telah lakukan sudah ada bukti dan faktanya, tidak guna jika pihak lawan berterusan menyoal apakah jasanya.

Malah mungkin Anifah sudah merancang pelan untuk membangunkan pula Bongawan seandainya kemenangan itu berpihak kepadanya apalagi kini beliau bergelar Presiden kepada sebuah parti tempatan, PCS.

Tidak mungkin rekod prestasi Anifah ini dapat ditandingi setakat ini selain kehebatan beliau di persada antarabangsa yang begitu dikenali dalam kalangan pemimpin dunia semasa menjadi menteri.

Pastinya pengundi sedia maklum calon di Bongawan yang kini menghadapi saingan daripada tiga calon yang memiliki pertalian keluarga sama ini sebenarnya bukanlah calang-calang sebaliknya mampu membawa nafas baharu kepada DUN itu.

Kita nantikannya pada 26 September ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast