Gambar yang dikongsikan Zulkifli menerusi Instagramnya

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini berkongsi kesedihan berikutan kematian 25 ekor lembu milik kenalannya.

Menerusi Instagram, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu menzahirkan kedukaan yang dialami oleh Syukor dan Pak Khamis dari Kampung Banggol Katong, Kuala Terengganu.

“Pagi ini menerima berita kematian tiba-tiba 25 ekor kerbau Pak Khamis di Kampung Banggol Katong, Kuala Terengganu.

“Kepada anakanda Syukor sekeluarga, banyakkan bersabar. Saya dimaklumkan, Syukor dan Pak Khamis amat sedih sekarang,” katanya menerusi ciapan di laman sosial berkenaan.

Zulkifli turut berpesan kepada dirinya sendiri dan kedua-dua kenalannya itu agar tidak terlalu bersedih dengan peristiwa yang dihadapi kerana hidup dan mati itu sememangnya pasti.

Katanya, sedih itu merupakan perkara yang biasa namun, tidak perlu untuk terlalu bersedih kerana ia adalah putaran biasa kehidupan makhluk Allah S.W.T.

“Maha Suci Allah yang mengikat pertalian kasih antara manusia dan haiwan dengan sebegitu erat,” ujarnya.

Zulkifli mengakhiri ciapannya itu dengan sepotong ayat yang dipetik dari al-Quran mengenai hikmah yang tersembunyi di sebalik sesuatu kejadian. – MalaysiaGazette