Iskandar Samad

KUALA LUMPUR – Dr Iskandar Samad dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS yang baharu.

Pelantikan itu berkuatkuasa hari ini.

Dengan pelantikannya, Iskandar akan membawa segala pengalamannya daripada pelbagai industri termasuk komunikasi, media digital dan perkhidmatan kewangan.

Beliau pernah memainkan peranan sebagai pemimpin di beberapa buah syarikat termasuk Ketua Pegawai Eksekutif di Jewel Digital Ventures Sdn Bhd, anak syarikat milik Permodalan Nasional Berhad; Astro Malaysia Holdings-OTT dan Astro’s Tribe (Hong Kong) Limited.

Iskandar juga pernah dilantik sebagai Naib Presiden OTT-MVNO dan jawatan sama untuk projek-projek khas di Axiata Berhad.

Baru-baru ini, Iskandar mewujudkan firma perunding strategik swasta untuk memberi fokus kepada transformasi digital, data analitikal dan pembangunan strategi.

Firma ini terlibat dalam penyelidikan dan analisis Covid-19 yang meliputi pemodelan ramalan, analisis impak sosial dan ekonomi, serta penilaian dan cadangan dasar.

Iskandar adalah pemegang kelas pertama Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Sains Maklumat dan memperoleh Doktor Falsafah dalam bidang kejuruteraan di Universiti Cambridge, United Kingdom. – MalaysiaGazette