APAKAH itu hujan melampau? Hujan melampau di dalam Bahasa inggeris dikenali sebagai ‘Extreme Rainfall’. ‘Extreme’ atau melampau didefiniskan sebagai sesuatu keadaan yang mencapai tahap tertinggi, jarang berlaku, tidak biasa atau sangat teruk. Peristiwa melampau atau ‘Extreme event’ dalam konteks cuaca atau iklim menurut Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) secara ringkasnya adalah peristiwa di mana nilai bacaan hujan mencatatkan nilai pada julat rekod tertinggi cerapan. Nilai-nilai bacaan tertinggi hujan ini adalah berbeza dari segi lokasi dan tempoh masa. Nilai hujan melampau di sesuatu tempat mungkin tidak dikira ‘extreme’ di lokasi yang lain.
Hujan lebat di sekitar Kuala Lumpur pada 10 September 2020 telah menyebabkan beberapa lokasi di ibu negara tenggelam. Limpahan sungai berlaku di Sungai Gombak, Sungai Klang dan Sungai Bunus. Jumlah hujan tertinggi dalam tempoh 4 jam yang direkod di stesen Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia adalah di Gombak Barrage dan Gombak Simpang 3 dimana masing-masing 187 mm dan 209 mm. Namun persoalannya adakah nilai hujan ini merupakan hujan melampau?
Impak hujan melampau
Ukuran tahap melampau sesuatu hujan dapat dianggarkan menggunakan kiraan kala
kembali (Average Recurrence Interval, ARI). ARI adalah jumlah tahun yang diramalkan
berlalu sebelum kejadian suatu magnitud hujan berlaku kembali. Contohnya, hujan dengan ARI 50 tahun secara purata berlaku sekali dalam tempoh 50 tahun. Lebih tinggi nilai ARI, lebih tinggi kelebatan hujan tersebut. Namun begitu, ARI ini dikira bersandarkan analisa kebarangkalian dan amat bergantung kepada data cerapan hujan yang digunakan. Pada era perubahan iklim ini, intensiti hujan melampau dijangka meningkat dan menyebabkan banyak peristiwa hujan melebihi rekod sejarah.
Menurut Jabatan Pengairan dan saliran, hujan pada 10 September 2020, di dua stesen di
kawasan Gombak mengalami hujan melebihi 200 ARI. Struktur-struktur hidraulik dan saliran mitigasi banjir di Malaysia biasanya direka bentuk berdasarkan nilai rekabentuk hujan 20, 50 dan 100 ARI. Hujan yang jatuh ke bumi akan menyusup ke dalam tanah atau menjadi air larian permukaan. Jumlah air susupan atau air larian permukaan amat bergantung kepada jenis guna tanah. Pembangunan pesat dan perubahan guna tanah boleh meningkatkan lagi jumlah air larian permukaan ini. Air larian permukaan ini kemudiannya akan memenuhi saliran-saliran dan struktur takungan-takungan air.
Selain daripada lebat hujan melampau, perubahan guna tanah yang pesat boleh
memburukkan keadaan dan menjana lebih banyak larian permukaan hingga melepasi
kapasiti reka bentuk sistem saliran dan struktur mitigasi banjir yang lain seperti kolam
takungan dan lencongan lalu menyebabkan banjir. Sistem-sistem mitigasi banjir sedia ada di Malaysia hanya dapat mengurangkan impak banjir ketika peristiwa hujan melampau ini
berlaku.
Pendekatan baharu dan Peranan Masyarakat
Tidak dapat dinafikan bahawa pembangunan yang pesat di sesebuah negara sangat penting selaras dengan arus pemodenan pada zaman ini. Banyak kawasan yang telah menjadi 'solid surface' menghalang aliran air. Selain itu, keadaan sistem perparitan yang tersumbat dengan sampah sarap dan sedimen secara tidak langsung memperlahankan atau menyekat aliran air dan menyebabkan banjir berlaku. Telah banyak usaha yang dilakukan oleh pihak berkuasa demi mitigasi dan pengurangan impak banjir, namun peranan masyarakat amat penting dalam membantu keberkesanannya.
Masyarakat perlu bersama-sama memastikan pengurusan sisa sampah dan sedimen yang baik di samping menjaga kebersihan sungai dan bandar raya. Terdapat juga pendekatan-pendekatan baharu dalam pengurangan impak hujan melampau dan pembangunan pesat. Antaranya membina Sponge City seperti yang perkenalkan di China. Sponge city merupakan sebuah kota terancang yang direka bentuk untuk menyerap dan mengumpul air hujan. Air hujan yang dikumpul kemudian boleh digunakan kembali
untuk pengairan dan kegunaan rumah. Selain di China, Sistem Saliran Bandar Lestari (SUDS) telah pun diperkenalkan di Malaysia. Ia adalah teknik yang disarankan untuk menyelesaikan banjir kilat di Malaysia oleh JPS. Sistem Saliran Bio-Ekologi atau Bio-Ecological Drainage System (BIOECODS) merupakan sistem mesra alam berdasarkan konsep “Control-at-Source”.
Selain dari itu, perlaksanaan bumbung hijau juga dicadangkan oleh penyelidik di Universiti Toronto di mana mereka menunjukkan bahawa bumbung hijau mempunyai kapasiti untuk menangkap sebahagian hujan, melegakan sistem air hujan bawah tanah dan melepaskan air hujan kembali ke atmosfera. Walaupun ada yang menafikan, kesan perubahan iklim semakin terasa daripada peristiwa-peristiwa melampau bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara. Bukan hanya impak seperti peningkatan intensiti hujan, kekerapan hujan, malah juga fenomena meteorologi lain seperti peristiwa kemarau berpanjangan, dan gelombang panas yang menyebabkan kebakaran hutan yang dahsyat. Rekabentuk struktur mitigasi banjir bukan lagi perlu dikira menggunakan cara konvensional sahaja tetapi merangkumi kaedah tidak pegun (non-stationary) yang mengambil kira faktor perubahan iklim. Adalah amat penting juga tidak
terhenti persoalan apa yang boleh menjadi nilai tambah peranan dan penyertaan orang
ramai dalam memebantu memitigasi banjir.
Dr Nor Eliza Alias dan Dr Mazlin Jumain dari Sekolah Kejuruteraan Awan, Fakulti Kejuruteraan UTM.