Kerbau yang menjadi peliharaan kepada bapa Muhammad Syukur mati bergelimpangan Kampung Banggol Katong, Serada, Kuala Terengganu.
KUALA TERENGGANU – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu hari ini mengisytiharkan kandang kerbau milik keluarga Muhammad Syukur Khamis di Kampung Banggol Katong dekat Serada di sini, sebagai kawasan larangan kepada orang ramai.

Pengarahnya, Dr Mohd Termizi Ghazali berkata, langkah itu dikuatkuasakan mengikut Akta Binatang 1953 (Akta 647) yang hanya membenarkan pemilik kandang memasuki kawasan tersebut, bagi mengelak jangkitan penyakit hawar berdarah ke kawasan lain.

“Ini prosedur operasi standard (SOP) jabatan dalam memastikan tiada sebarang pergerakan keluar masuk orang ramai atau kenderaan ke kandang tersebut kerana ia mendatangkan risiko jangkitan kepada haiwan ternakan di kawasan lain.

“Kandang ini ditutup berkuat kuasa hari ini sehingga masalah wabak hawar berdarah ini selesai,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, tinjauan Bernama ke kandang tersebut mendapati proses menanam bangkai kerbau yang mati, masih dilakukan.

Muhammad Syukur berkata, lima lagi kerbaunya mati pagi ini, manakala enam dikesan mempunyai simptom yang agak kritikal.

“Pagi tadi lagi sedih sebab saya nampak ada anak kerbau yang baru berusia sebulan masih menyusu dari ibunya yang sudah mati….tak tahu macam mana nak gambarkan perasan sedih dan sebak tu.

“Buat masa sekarang, kami berharap sangat dapat cari jalan untuk selamatkan kerbau yang masih sihat,” katanya.

Sementara itu, bapa Muhammad Syukur, Khamis Jusoh, 64 berkata, pihaknya buntu bagaimana hendak mengasingkan kerbau yang masih sihat seperti disarankan JPV Terengganu kerana kekangan tempat dan masa.

“Sukar untuk saya kuarantin kerana tiada tempat sesuai, tambahan pula ini kandang terbuka….kerbau ini pula tidak boleh terdedah dengan cuaca panas, ia akan tetap merempuh pagar yang ada untuk pergi ke kawasan sawah berdekatan.

“Saya berharap sangat agar kerbau yang masih sihat ini boleh diselamatkan dengan kepakaran dan kemahiran JPV, namun sekiranya tidak (berlaku lebih banyak kematian), saya reda dengan takdir Allah,” katanya.

Semalam, media melaporkan sebanyak 36 kerbau milik keluarga Muhammad Syukur, 15, yang terkenal dengan jolokan ‘Mowgli Malaysia’ atau ‘Kampong Boy’ itu, mati secara berperingkat sejak Rabu lepas dipercayai akibat penyakit hawar berdarah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Salam simpati dengan kemusnahan bawaan hawar yang menimpa penduduk Trengganu! Ianya kerugian puluhan ratusan ribu ringgit.

    Kalau kerajaan boleh membantu syarikat2 besar pre & post COVID-19 berbillion2 ringgit, apalah sangat bantuan kepada mangsa2 ini!

    Kepada pihak berkenaan, berwajib, mana yang boleh dibantu tu bantulah secepat mungkin!

Comments are closed.