KOTA KINABALU – Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Panglima Anifah Aman hairan dengan ‘ketakutan’  Datuk Seri Mohd Shafie Apdal terhadapnya.

Malah tindakan mantan Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden Warisan itu yang menggunakan peluang kempen pilihan raya untuk mencemarkan nama baiknya.

Anifah menganggap ia tidak lebih daripada tindakan terdesak Mohd. Shafie.

Kata bekas Menteri Luar, dakwaan tidak berasas telah dilemparkan oleh Mohd Shafie kononnya beliau sekeluarga termasuk Tan Sri Musa Aman telah memperoleh kontrak 100 tahun ke atas tanah kepunyaan Yayasan Sabah.

“Saya tidak faham apakah sebenarnya ditakutkan sangat oleh Mohd Shafie ini, kita semua sedang berkempen untuk PRN (Pilihan Raya Negeri), apakah itu satu keperluan untuk kempen menjatuhkan calon lain?

“Bertanggungjawablah sedikit, gunakan peluang kempen untuk bercakap dan memberi pemahaman kepada rakyat. Patutnya beri kepentingan untuk rakyat dulu.

“Rakyat mahu dengar apa yang pemimpin bertanding ini mahu berikan kepada mereka. Itu yang mereka hendak dengar lagi-lagi ketika kemelesetan ekonomi, pandemik Covid-19 yang juga telah beri kesan dan banyak isu-isu rakyat.

“Jadinya, apakah satu kepentingan untuk cuba jatuhkan pihak lain lagi teruk dan hina apabila menyeret keluarga mereka dalam agenda politik kamu, sampai bila mahu begini? Langsung tidak bermaruah.

“Tidak apa, saya tidak mahu buang masa dengan bercakap tentang perkara tidak berasas ini. Nanti saya akan ambil tindakan undang-undang selepas selesai PRN,” katanya lagi.

Semalam Mohd Shafie ketika berkempen di Kunak telah mendakwa dua kontrak tanah milik Yayasan Sabah telah di berikan kepada ahli keluarga Musa dan Anifah pada tahun 2015 dan tahun 2018.

Mohd. Shafie juga mencabar mana-mana pihak untuk tampil mengambil tindakan saman berhubung dakwaan itu kerana mendakwa beliau mempunyai dokumen untuk membuktikan perkara tersebut.

Kata Anifah lagi, tindakan menyebarkan dakwaan untuk menyemarakkan rasa benci rakyat serta berbohong demi mendapatkan undi sebenarnya taktik  lapuk.

“Saya tidak akan sesekali terlibat dengan taktik kotor seperti ini, ada banyak lagi cara berkempen dan menangi hati rakyat sekaligus undi mereka. Saya juga tidak akan buang masa seperti ini.

“Mungkin dengan mengeluarkan dakwaan serta tuduhan seperti ini, pada mereka kita juga akan buang masa bela diri dan lawan cara tidak bermaruah seperti mereka. Tidak ada masa untuk itu.

“Malam ini, kita lancarkan manifesto PCS yang di tunggu-tunggu oleh rakyat. Saya dan calon lain perlu fokus pada perkara itu dan bukannya hal remeh seperti ketika kempen PRN.

“Rakyat Sabah penting, negeri ini penting,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast