Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man meninjau kawasan berisiko banjir akibat projek lebuh raya EKVE di Felcra Semungkis, Hulu Langat, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 15 SEPTEMBER 2020

HULU LANGAT – Kementerian Alam Sekitar dan Air memberi jaminan masalah banjir kilat yang menghantui kira-kira 270 penduduk di beberapa buah kampung di sini sejak 20 tahun lalu akan diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Menterinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat dengan jawatankuasa khas serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi penduduk di kawasan itu.

Katanya, mesyuarat tersebut akan membincangkan berkenaan langkah mitigasi secara menyeluruh bagi mengatasi masalah banjir pada masa akan datang di kawasan terbabit.

“Saya tengok satu kajian perlu dibuat bagi mengatasi masalah ini. Ia akan melibatkan beberapa pihak termasuk agensi di bawah kementerian saya.

“Alternatif yang ada ialah memastikan ada takungan air yang selamat dan ada penyeliaan yang rapi sebab terdapat tujuh buah sungai yang mengalir ke kampung ini,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan di beberapa kawasan di Felcra Semungkis di sini hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, kedudukan sungai yang tidak mampu lagi menampung jumlah air yang besar akibat pembangunan di kawasan berkenaan menjadi punca kepada permsalahan banjir kilat.

Ujarnya, keadaan menjadi lebih rumit apabila terdapatnya pembinaan Lebuh Raya Lingkaran Luar-Hubungan Timur (EKVE) yang sedang berjalan hingga menenggelamkan kawasan serapan air.

Ujarnya, perkara itu telah dibincangkan dengan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan tindakan segera turut akan diambil.

Selain itu katanya, tindakan segera turut akan dibuat bagi mengalihkan batu-batu besar untuk projek lebuh raya berkenaan yang dilihat membahayakan keselamatan penduduk yang tinggal berhampiran dengan projek berkenaan.

“Bagi masa saya sikit untuk adakan mesyuarat dengan JPS dan pihak-pihak tertentu ini untuk tindakan yang patut diambil secara menyeluruh.

“Masalah ini kena cari jalan keluar. Walaupun saya nampak agak sukar, tapi yang penting kena cari mekanisme untuk selesaikan masalah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim memberitahu, beliau juga akan memastikan masalah tekanan air untuk bekalan air bersih daripada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) kepada penduduk di kawasan berkenaan turut akan diselesaikan bersama.

Katanya, beliau akan mendapatkan laporan berkenaan permasalahan tersebut daripada pihak Syabas secepat mungkin.

Sementara itu, Pengerusi Badan Kebajikan, Keselamatan dan sosial Felcra Semungkis, Abu Samah Ibrahim berkata, pihak Syabas telah beberapa kali datang ke kawasan mereka untuk mengenal pasti masalah yang berlaku.

Katanya, penduduk telah memberikan cadangan agar Syabas menyediakan tangki air yang bertujuan memberi tekanan kuat untuk menyalurkan air ke rumah-rumah penduduk di situ.

“Saya rasa kalau adanya tangki ini tidak akan ada masalah untuk menampung tekanan air yang besar sebelum disalurkan ke rumah penduduk di sini.

“Mereka (Syabas) bersetuju cuma berdepan masalah kos untuk mengadakan tangki itu,” ujarnya.

Menurut Tuan Ibrahim lagi, bagi menyelesaikan masalah berkenaan, tangki rezab perlu disediakan dikawasan tersebut dan rundingan akan dibuat dengan pihak Syabas.

Bagaimanapun, jumlah tangki yang akan disediakan belum lagi diketahui namun, penyelesaian perlu dibuat bagi mengelakkan masalah kritikal kepada penduduk untuk mendapatkan bekalan air terutamanya ketika musim kemarau. – MalaysiaGazette