SYDNEY – Polis Australia memulakan siasatan selepas rakaman anggotanya menyerang seorang lelaki Orang Asli semasa menahannya tular.
Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan oleh polis di Kilburn, terletak di pinggir Adelaide.
Rakaman itu menunjukkan tiga anggota polis cuba menjatuh dan menggari lelaki terbabit.
Dalam video yang tular itu, seorang anggota polis telah memukul lelaki terbabit beberapa kali dan dua lagi rakannya cuba menahan.
Manakala dalam video yang lain, seorang anggota polis cuba menyekat lelaki berkenaan di tepi konkrit, ketika itu terdengar jeritan ‘lepaskan kepalanya’ daripada beberapa suara.
Komisioner polis di Australia Selatan, Grant Stevens berkata, dua anggota polis yang terlibat dalam penahanan lelaki itu telah diberi cuti pentadbiran ketika siasatan sedang dijalankan.
Video itu telah menimbulkan kebimbangan dan akan diteliti secara menyeluruh, katanya.
Kumpulan hak asasi Orang Asli menuduh anggota polis terlibat telah menggunakan kekerasan yang berlebihan.
Ketua Menteri Australia Selatan, Steven Marshall memberitahu beliau bimbang dengan apa yang dilihatnya dalam video itu.
Polis Australia Selatan memaklumkan pihaknya telah dipanggil ke sebuah alamat di Kilburn selepas menerima aduan masalah keganasan rumah tangga yang didakwa berisiko tinggi pada malam Isnin.
“Ketika polis menghampiri alamat tersebut, mereka melihat seorang lelaki meninggalkan kawasan rumah dengan basikal,” kata polis dalam satu kenyataan.
Anggota-anggota polis kemudian memeriksa lelaki berkenaan kerana mengesyaki dia memiliki dadah.
“Lelaki itu pada awalnya patuh dan setelah beberapa saat dia mula memberontak.
“Polis dan lelaki itu bergelut di atas tanah ketika polis berusaha menahan dan menggarinya.
“Tiada dadah ditemui pada lelaki itu. Lelaki tersebut pada awalnya dituduh menghalang polis, menghalang penangkapan dan merosakkan harta benda, tetapi dibebaskan sementara menunggu siasatan lebih lanjut,” kata kenyataan tersebut. – MalaysiaGazette