KUALA LUMPUR – Usia dan status tidak menghalang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menggunting rambut di sebuah kedai hispter di Nilai, Negeri Sembilan.
Menerusi Instagram miliknya, Dr Zulkifli berkongsi gambar beliau sedang mendapatkan perkhidmatan di situ.
Tulisnya, beliau berbangga apabila melihat anak muda Muslim berjaya dalam pelbagai bidang masing-masing selain berterima kasih atas perkhidmatan gunting rambut yang diberikan.
“Sesekali cuba kedai gunting rambut hipster. Saya amat berbangga melihat kejayaan anak muda Muslim dalam apa jua lapangan kerjaya yang diceburi.
“Kerajaan melalui agensi-agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri seperti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Yayasan Waqaf Malaysia dan TV Alhijrah telah menyediakan pelbagai inisiatif bagi membantu anak muda asnaf dan B40 dalam memulakan dan meneruskan perniagaan pasca COVID-19. Boleh rujuk dalam Kad Laporan bulanan kami,” kata bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu.
Sementara itu, hantaran tersebut mendapat respon daripada tukang gunting rambut yang dikenali sebagai Afifi apabila dia turut mengucapkan terima kasih Zulkifli. – MalaysiaGazette