Gambar hiasan

BUKIT MERTAJAM – Polis menahan seorang pegawai khas kepada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pulau Pinang, bagi membantu siasatan berhubung satu laporan palsu dibuat lelaki itu, kononnya dia disamun RM60,000 pada 12 Sept lalu.

Sumber berkata selain lelaki berusia 30-an itu, polis turut menahan adik lelakinya berumur 20 tahun malam tadi, selepas siasatan polis mendapati terdapat maklumat yang mengelirukan serta bercanggah dalam keterangan mereka.

“Menurut lelaki itu (pegawai khas ADUN) semasa kejadian dia dan adiknya yang menaiki sebuah kereta berhenti di sebuah stesen minyak di Permatang Rawa, sebelum tiba-tiba seorang lelaki menaiki sebuah motosikal datang menghampiri kenderaan tersebut.

“Suspek (penunggang motosikal) kononnya telah mengambil beg mengandungi wang tunai RM60,000, yang terdapat dalam kereta itu sebelum terus memecut laju motosikalnya,” katanya di sini hari ini.

Katanya, pegawai itu membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut dan dia dipercayai bertindak sedemikian, kerana mahu mengelak membayar wang kepada pihak yang mengugut adiknya.

Difahamkan ugutan itu dilakukan oleh seorang individu, yang ingin menyebarkan gambar lucah milik adik kepada pegawai khas ADUN tersebut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Shafee Abd Samad, ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih menjalankan.

Katanya, kes disiasat menurut Seksyen 182 Kanun Keseksaan, iaitu membuat laporan polis palsu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA