Nanyang Siang Pau melaporkan, suruhanjaya itu akan mengambil tindakan dan pendekatan selari dengan Akta Persaingan 2010.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Malaysia, Iskandar Ismail berkata, pihaknya telah menerima aduan dan laporan daripada Persatuan Penerbit Akhbar Malaysia (MNPA), malahan sudah mengadakan mesyuarat secara dalam talian mengenai isu tersebut.
Susulan mesyuarat itu, pihak suruhanjaya seterusnya telah mengadakan perbincangan dengan organisasi persaingan dan perlindungan pengguna Australia dan Perancis untuk mendapatkan input berkenaan isu yang sama.
“Langkah seterusnya adalah mengadakan pertemuan dengan media tempatan untuk menjelaskan hasil perbincangan dengan Australia dan Perancis bagi tujuan merangka pendekatan yang selari dengan Akta Persaingan 2010.
“Pada masa ini, beberapa negara termasuk Perancis, Jerman, Sepanyol dan Australia sedang mengambil tindakan untuk membolehkan dua gergasi teknologi membayar atas kandungan berita yang digunakan mereka,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.
Iskandar mengakui bahawa ia adalah misi yang sukar untuk membolehkan Google dan Facebook membayar kandungan berita yang digunakan.
“Ini satu isu yang rumit dan memerlukan masa untuk mengendalikannya,” katanya.
Menurut Iskandar, gergasi teknologi berpendapat bahawa penerbit berita harus berterima kasih kepada mereka kerana telah membantu menyebarkan berita daripada agensi media tradisional.
Katanya, gergasi berkenaan juga menekankan pelaburan besar oleh mereka dalam menyediakan platform untuk menghebahkan berita.
“Australia merupakan satu negara besar dan sekutu Amerika Syarikat, tetapi pihak berkenaan telah mengugut akan keluar dari pasaran Australia apabila ditekan untuk membayar.
” Malaysia hanyalah negara kecil dan mereka tidak memandang kita pun, apatah lagi kita berdepan gergasi teknologi yang mempunyai kemampuan kewangan yang lebih besar berbanding banyak negara,” katanya. – MalaysiaGazette