JOHOR BAHRU – Tindakan pemimpin parti yang menamakan calon Ketua Menteri Sabah hanya taktik mendapatkan undi.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia belum tentu menjadi satu keputusan muktamad.
“Itu usaha hendak memastikan calon parti mereka mendapat sokongan kuat, itu hanya satu cara.
“Sama ada itu menjadi kenyataan atau tidak, seperti disebutkan (Pengerusi Barisan Nasional) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bergantung pada keputusan PRN (Pilihan Raya Negeri) nanti.
“Itu adalah lebih kepada taktik hendak dapatkan undi, belum tentu lagi ia jadi kenyataan,” katanya selepas merasmikan Badan Gabungan NGO Wanita Pasir Gudang di sini hari ini dipetik dari laporan FMT.
Selain itu, Mohamed Khaled juga berpendapat, sejumlah besar calon dan parti politik yang bertanding dalam PRN Sabah dilihat memudaratkan demokrasi.
Beliau berkata, walaupun ada pihak yang berpendapat ramai calon bertanding memperlihatkan demokrasi sangat subur di Sabah tetapi tanggapan dan ukuran itu sebenarnya tidak tepat.
“Apa yang kita lihat di Sabah, ramai yang bertanding dalam PRN tanpa agenda jelas, tanpa strategi kemas dan dilakukan untuk kepentingan jangka pendek tokoh ataupun agenda tertentu.
“Sudah tentu itu boleh dianggap memudaratkan demokrasi, bukan menyuburkan demokrasi, itu pada pandangan saya apa kita sedang lalui di Sabah pada hari ini,” katanya.- MalaysiaGazette