Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) , Mohd Ashraf Mustaqim (tiga kiri) menunjukan poster mengenai isu Klang Valley Double Tracking 2 pada Sidang Media di Pejabat Bahagian Bersatu, Putrajaya. foto ISKANDAR HAMIDI, 17 SEPTEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) menuntut penjelasan Lim Guan Eng atas dakwaan kehilangan kos RM1 bilion dalam projek Sistem Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT 2) di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangan Armada, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, bekas Menteri Kewangan itu perlu menjelaskan kerana selepas projek itu disemak semula pada 19 September 2018, nilainya adalah RM3.5 bilion berbanding kos asal RM5.26 bilion yang diputuskan Barisan Nasional (BN).

Namun jelas beliau, projek itu masih diberikan kepada syarikat yang sama, Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn. Bhd. (DMIA) dengan kos RM4.47 bilion pada 5 Julai tahun lalu walaupun kurang 15 peratus daripada kos asal.

“Mana perginya RM1 bilion walaupun ada penjimatan? Sedangkan sebelum ini kos selepas disemak semula antara RM3 bilion ke RM3.5 bilion daripada kos asal di bawah BN.

“Turut dipersoalkan kenapa projek ini diberikan secara rundingan terus kepada syarikat asal yang sama dan kosnya tinggi iaitu RM4.75 bilion daripada kos yang disemak semula dengan skop kerja yang dikurangkan.

“Timbul beberapa persoalan mengenai projek KVDT2 ini yang seakan-akan PH, DAP  dan Guan Eng yang berlagak suci. Daripada awal pemerintahan PH, mereka sering melaungkan amalan integriti,” katanya pada sidang media mengenai projek KVDT2 di sini hari ini.

Untuk rekod, selepas mengambil alih kerajaan daripada BN, PH telah membatalkan KVDT2 dengan alasan kos yang terlalu tinggi dan mahu projek tersebut dijalankan melalui tender terbuka semula.

Namun apa yang menjadi persoalan ramai pihak apabila Kementerian Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan Kabinet memutuskan untuk menganugerahkan kontrak itu semula kepada DMIA dengan alasan bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

Bulan lalu, surat setebal tujuh muka surat daripada bekas Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) kepada Guan Eng pada 2019 tular di laman-laman sosial.

Kandungan surat yang ditulis oleh Mohd. Rani Hisham Samsudin itu antara lain meminta supaya Kementerian Kewangan yang  menimbang semula hasrat untuk melantik DMIA bagi projek KVDT 2 itu.

Menurut Mohd. Rani Hisham, DMIA mempunyai prestasi buruk semasa menjayakan projek KVDT fasa 1 yang bermula pada Mei 2016. Projek berkenaan dijayakan hasil usahasama di antara DMIA dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera, diberi nama Dhaya Maju LTAT Sdn. Bhd. (DM-LTAT).

Melalui surat berkenaan, beliau turut memaklumkan masalah-masalah yang dihadapi oleh DMIA sehingga menyebabkan kelewatan KVDT 1 siap.

Antaranya, produktiviti rendah kerana kekurangan tenaga mahir, peralatan pembinaan yang tidak lengkap, pembekalan bahan mentah yang tidak mengikut standard, kelemahan perancangan kerja, dan kekurangan pekerja yang cekap.

Mengulas lanjut, Mohd Ashraf Mustaqim mahu Guan Eng menjawab kenapa DMIA dianugerahkan projek itu secara rundingan terus.

Jelas beliau, apatah lagi KTMB sebagai pihak ketiga telah menasihati Kementerian Kewangan mengenai prestasi DMIA sebelum ini.

“Kami akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia selepas ini namun biar Guan Eng jawab dahulu mengenai beberapa persoalan,” katanya.

Sementara itu, beberapa bulan selepas surat ini ditulis, Mohd. Rani Hisham digantikan dengan Datuk Ir Kamarulzaman Zainal apabila kontraknya tidak lagi disambung. – MalaysiaGazette