Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berucap pada Majlis Pelancaran Program Kursus Pasca Perkahwinan Islam di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Belum ada lagi pengumuman rasmi oleh kerajaan Arab Saudi untuk membenarkan umat Islam di negara ini menunaikan umrah selepas pasca pandemik Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beliau ada mengutarakan persoalan bilakah kerajaan Arab Saudi akan membenarkan Mekah dikunjungi selepas ia ditutup kepada umat Islam di seluruh dunia sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, pertanyaan itu diutarakan oleh beliau kepada Duta Besar Arab Saudi dalam satu majlis makan malam, empat hari lalu.

“Beliau menyatakan setakat ini tidak ada pengumuman rasmi lagi. Bahkan situasi di Arab Saudi walaupun Covid-19 sudah menurun berbanding dengan kehendak sebenar masih lagi banyak.

“Kita berdoalah semoga Covid-19 ini akan terus berlalu bukan sahaja di Malaysia dan Arab Saudi tapi di seluruh dunia. Akhirnya, kita boleh kembali walaupun dalam norma baharu kehidupan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Kursus Pasca Perkahwinan Islam “Sehati Sejiwa” di sini hari ini.

Zuklifli diminta mengulas kenyataan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) bahawa Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussein Saeed Qattan menyatakan umat Islam di negara ini mungkin perlu memohon kebenaran masuk ke tanah suci dengan kerajaan Arab Saudi terlebih dahulu, sebelum membuat visa.

Menurutnya, ia antara prosedur yang dicadang dikenakan kerajaan negara berkenaan bagi mengawal penularan wabak Covid-19, selain mahu mengehadkan kemasukan jemaah umrah luar negara pada satu-satu masa.

Bagaimanapun, Zulkifli enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu sebaliknya hanya akan memberikan pandangan berdasarkan fakta dan kenyataan rasmi yang mungkin diperoleh. – MalaysiaGazette