Calon Perikatan Nasional (PN) DUN N.66 Bugaya, Mohd Daud Tampokong beramah mesra bersama pengundi sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 di Kampung Bugaya, Semporna, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 18 SEPTEMBER 2020.

SEMPORNA – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Mohd Daud Tampakong percaya penularan Covid-19 di sini akan memberi kesan kepada jumlah pengundi nanti.

Menurut beliau, kebimbangan itu disebabkan wujudnya beberapa kluster di sini.

“Kerisauan itu memang ada tapi keperluan untuk bertemu dengan pengundi itu terutama dalam kempen Pilihan Raya Negeri ini kena buat juga.

“Saya sudah berhubung dengan pihak Jabatan Kesihatan dan kita dinasihatkan supaya dengan ketat mengikut SOP (prosedur operasi standard). Jangan bersalaman dan selalu pakai pelitup muka, selalu guna cecair cuci tangan. Kita pun dari masa ke semasa berhubung dengan mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika program ramah mesra bersama pengundi di Kampung Bugaya, Semporna, hari ini.

Ditanya sama  ada penularan Covid-19 menjejaskan kempen beliau, Daud berkata, ia sudah pasti menjejaskan siri kempen kerana terpaksa mengikut SOP yang diarahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kita harap akan dapat berjumpa dengan pengundi ini dengan sekerap mungkin sehingga 25 September depan.

“Walau bagaimanapun faktor kesihatan dan keselamatan umum kita kena berikan keutamaan,” katanya.

Semporna mencatatkan kluster terbaharu semalam iaitu iaitu Kluster Selamat.

Dua kes dikesan positif membabitkan dua individu termasuk seorang pegawai perubatan hospital yang merawat seorang wanita berusia 32 tahun yang dimasukkan ke Hospital Tawau bagi kelahiran pramatang.

Kes tersebut sekali gus menjadikan kluster keempat di negeri itu selepas Kluster Benteng LD, Laut dan Pulau.

Bugaya, Mohd Daud Tampokong beramah mesra bersama pengundi sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 di Kampung Bugaya, Semporna, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 18 SEPTEMBER 2020.

Dalam pada itu, Mohd Daud menjelaskan pihaknya menyambut baik apa-apa sahaja saranan KKM sekiranya ingin menangguhkan PRN Sabah kali ini susulan peningkatan kes positif Covid-19 yang mendadak di negeri ini.

“Kita menyambut baik apapun cadangan yang prihatin terhadap kebajikan pengundi. Kalau PRN terpaksa ditangguhkan disebabkan kes Covid-19, kita menurut perintah.

“Dan dalam kempen kita pun kita sentiasa mengingatkan pengundi untuk sentiasa mematuhi SOP yang telah dikeluarkan oleh pihak berwajib,” katanya lagi. – MalaysiaGazette