Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyempurnakan gimik pelancaran Program Kursus Pasca Perkahwinan Islam di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Program Kursus Pasca Perkahwinan Islam ‘Sehati Sejiwa’ anjuran Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) diyakini mampu menjadi benteng kepada berlakunya kes-kes perceraian.

Perkara itu dijelaskan Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri apabila memberitahu, pihaknya akan cuba melebarkan lagi program tersebut di tempat-tempat lain pada masa akan datang agar lebih ramai lagi akan faham mengenai kebahagian dalam berumahtangga.

“Saya cukup mengambil prihatin dan juga kecaknaan masalah kekeluargaan dalam Islam ini atau pembentukan keluarga bahagia.

“Bagi saya ia adalah mukaddimah kebahagian, kejayaan, keharmonian dan kemajuan sesebuah negara yang bersifat seimbang.

“Saya yakin kalau emosi yang tidak terganggu begitu juga suasana yang tenang, jiwa yang lapang, hati yang gembira dan seronok, memungkinkan kehidupan jauh lebih baik,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan program berkenaan di sini hari ini.

Zukifli berkata, program seperti itu sangat penting untuk dilaksanakan di negara ini kerana dunia kini sedang menggredkan negara-negara yang bahagia dan Malaysia tidak terkecuali dalam hal itu.

“Kita harap Malaysia akan jadi salah satunya. Kita juga harap dapat mengurangkan isu-isu seperti perceraian, keruntuhan rumah tangga serta perasaan tidak selesa, termasuk anak-anak yang terbeban dengan pertelingkahan keluarga dan ibu bapa yang kita dapat atasi,” ujarnya.

JAWI mengambil inisiatif apabila mengadakan program seumpama itu yang jarang dilakukan oleh mana-mana pihak sebagai usaha mengeratkan lagi hubungan keluarga bahagia pasca perkahwinan sehati sejiwa.

Ia merupakan satu-satunya program rintis dan diadakan mengikut fasa-fasa tertentu.

Terdapat empat jenis modul yang disediakan menerusi kursus tersebut dengan sasaran Fasa iaitu Bulan Madu (tempoh perkahwinan di bawah lima tahun); Fasa Sehati Sejiwa (tempoh perkahwinan enam hingga 10 tahun); Fasa Semarak Kasih (tempoh perkahwinan 11 hingga 20 tahun dan Fasa Syurga Cinta (ftempoh perkahwinan 21 tahun dan lebih). – MalaysiaGazette