Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Edmund Santhara mengatakan sesuatu kepada Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin (kiri) pada Pelancaran Program "We Love, We Serve, We Hope" di Dewan Pusat Komuniti Gombak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 19 SEPTEMBER 2020

GOMBAK – Seramai 219 individu ditahan bermula Januari sehingga September tahun ini ekoran terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Polis (CP), Datuk Saiful Azly Kamarudin berkata, jumlah tangkapan itu meningkat dengan mendadak berbanding tahun lepas.

“Sepanjang tahun 2019, seramai 82 orang telah ditangkap melalui pelbagai seksyen termasuk seksyen 39, seksyen 12, seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya.

“Kebanyakan yang ditangkap berumur lingkungan 40 tahun dan kebawah termasuklah pengedar dan penagih,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program We Love, We Serve, We Hope di sini.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Santhara melancarkan program tersebut di Pusat Komuniti Gombak hari ini.

Program berkenaan merupakan inisiatif bersepadu bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah, substan dan pelencongan sosial secara kolaboratif bersama Kementerian Wilayah Persekutuan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang membabitkan tiga PPR iaitu, PPR Gombak Setia, PPR Kampung Baru Ayer Panas dan PPR Sungai Bonus.

Menurut Saiful Azly lagi, tiga tempat yang dipilih dalam program itu merupakan kawasan yang menghadapi masalah pelencongan sosial dan penyalahgunaan dadah.

“Tiga jenis dadah yang diambil adalah membabitkan heroin, syabu dan ganja.

“Bekalannya memang kita tahu untuk golongan yang berpendapatan rendah sahaja yang consume (ambil) dadah jenis ini.

“Jadi, dengan kerjasama pihak Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Jabatan Narkotik Bukit Aman, kami telah menggerakkan operasi-operasi yang lebih agresif dan efektif sehingga menyebabkan tangkapan yang direkodkan meningkat dengan mendadak,” katanya.

Menurut Saiful Azly lagi, ketiga-tiga PPR itu mempunyai penduduk sebanyak 20, 416 orang berdasarkan statistik tahun ini dan daripada jumlah tersebut, 995 orang atau 4.87 peratus didapati terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Dalam pada itu, Santhara berkata, pihaknya mendapati jumlah kes penyalahgunaan dadah meningkat sehingga 60 peratus hingga 70 peratus dan membabitkan kalangan belia terutama di Kuala Lumpur.

“Kita seharusnya memantau dan mesti memastikan cara-cara yang berkesan untuk mengurangkan kes berkaitan dadah di Kuala Lumpur khususnya di kawasan PPR dan belia senang untuk terlibat dengan gejala ini.

“Oleh yang demikian, kerajaan giat untuk menjalankan program-program bagi memastikan belia terlibat dan program yang kita mulakan pada hari ini dan ia tidak berhenti di sini.

“Kita akan bekerjasama dengan pihak DBKL dan AADK serta IPK untuk menjalankan pemantauan dan mengambil tindakan penguatkuasaan serta tindakan dari sudut kesejahteraan bandar bagi mengelakkan masalah pelencongan sosial ,” ujarnya. – MalaysiaGazette