Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sabah yang juga calon Perikatan Nasional (PN) N.12 Sulaman, Datuk Hajiji Noor (dua kiri) beramah mesra dengan sebahagian tetamu yang hadir pada Program Perjumpaan Bersama Ketua Pimpinan Badan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Kindu, Tuaran, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 19 SEPTEMBER 2020.

TUARAN – Kenyataan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal yang mendakwa rakyat negeri itu tidak memerlukan bantuan daripada kerajaan persekutuan disifatkan sebagai keterlaluan.

Calon Perikatan Nasional (PN) DUN Sulaman, Datuk Hajiji Noor berkata, masih ramai rakyat yang memerlukan bantuan daripada kerajaan.

Sebab itu kerajaan PN perlu membantu kerajaan negeri Sabah, ujarnya.

“Rakyat memerlukan bantuan, apa juga bantuan yang diberikan kerajaan rakyat terima dengan hati yang senang.

“Jadi kalau kita cakap Sabah tidak perlu BR1M tidak perlu bantuan, itu adalah sesuatu yang sangat negatif dan rakyat tidak suka keadaan seumpama itu.

“Rakyat masih lagi banyak memerlukan bantuan jadi kalau kita cakap begitu adalah sesuatu yang agak keterlaluan,” katanya kepada media di Program Perjumpaan Bersama Ketua Pimpinan Badan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Pusat Daerah Mengundi Kg Kindu hari ini.

Baru-baru ini Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, rakyat Sabah seperti memerlukan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Bantuan Prihatin Nasional (PRIHATIN).

Sementara itu, ketika menyampaikan ucapan Hajiji yang juga Pengerusi PN Sabah berkata, tindakan Shafie yang menjauhkan rakyat negeri itu dengan kerajaan Pusat hanya merugikan penduduk negeri itu.

“Jangan jauhkan rakyat Sabah dengan kerajaan di Putrajaya.

“Ini adalah satu tren merugikan rakyat Sabah kita berada di dunia tanpa sempadanan, kita mesti memikirkan perkara yang lebih besar. Jangan bawa rakyat Sabah terperosok di ceruk negeri,”kata beliau. – MalaysiaGazette