Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad (kiri) bersama Calon Barisan Nasional (BN) DUN N.70 Kukusan, Chaya Sulaiman ketika hadir ke sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Kampung Airport Lama, Tawau, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 18 SEPTEMBER 2020.

TAWAU – Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad melahirkan keyakinan bahawa satu-satunya calon Wanita UMNO di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah mampu untuk memberikan kerusi kepada Barisan Nasional (BN).

BN katanya yang mempertaruhkan Chaya Sulaiman merupakan calon yang sudah dikenali pengundi-pengundi DUN Kukusan walaupun membawa status muka baru.

“Saya percaya dan penuh yakin bahawa beliau mampu untuk melaksanakan tugasan beliau sebagai wakil rakyat sekiranya dipilih oleh pengundi di DUN Kukusan.

“Jadi tidak ada masalah. Berilah peluang kepada calon BN di Kukusan yang berpengalaman sebab kalau nak diikutkan dia adalah penaja kepada DUN Kukusan ini dan bergerak di kawasan ini sejak dari jawatan penaja lagi lebih kurang 30 tahun yang lalu,” katanya selepas Program ziarah kasih Ketua Pergerakan Wanita UMNO di PDM Sentosa, Tawau, hari ini.

Chaya adalah bersaudara dengan Ahli Parlimen Kalabakan daripada Warisan, Ma’mun Sulaiman.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kalabakan berkata, dirinya menceburi bidang politik sejak 1991 bersama UMNO di Sabah.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad ketika hadir ke sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Kampung Airport Lama, Tawau, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 18 SEPTEMBER 2020.

DUN Kukusan menjadi medan pertarungan tujuh penjuru antara calon wanita muda dari Warisan, Rina Jainal, 39, calon Parti Cinta Sabah (PCS) Ismail @ Taufik Muin, Lee Boon King (Parti Gagasan Rakyat Sabah), Wong Jin Soon (Parti Harapan Rakyat Sabah), Ismail Idris (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) serta Rosdiansah Mohd Nor dari Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS).

DUN Kukusan mempunyai 12,640 jumlah pengundi dan merupakan salah satu daripada 13 DUN baharu bagi Sabah.

Sebelum ini ia terletak di bawah DUN Tanjung Batu sebelum persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). – MalaysiaGazette