Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka mengalami dagangan berhati-hati dan berada pada paras semasa minggu depan dengan indeks penanda aras mencatatkan julat 1,510 hingga 1,540 menjelang pengumuman data inflasi Ogos, keputusan FTSE Russell mengenai bon Malaysia serta Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Semua faktor ini dilihat meletakkan pasaran dalam keadaan berhati-hati.

FTSE Russell dijangka mengumumkan keputusannya minggu depan, sama ada akan mengekalkan Malaysia dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI) atau sebaliknya.

Sementara itu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan mengeluarkan data inflasi pada Rabu.

Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia turun 1.3 peratus pada Julai kepada 119.9 daripada 121.5 pada bulan yang sama tahun lepas, yang sememangnya dijangkakan berikutan penurunan harga bahan api.

Penurunan indeks keseluruhan itu didorong penurunan dalam pengangkutan, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain.

Sementara itu, hari pengundian bagi PRN Sabah akan berlangsung pada 26 Sept.

“PRN Sabah dapat mengukuhkan kepastian politik dalam melangkah ke hadapan. Ini merupakan sesuatu yang melegakan para pelabur,” kata Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim kepada Bernama.

Di samping itu, perkembangan mengenai vaksin COVID-19 akan meningkatkan sentimen tempatan.

AstraZeneca meneruskan semula percubaan vaksin koronavirus fasa tiga walaupun sentimen masih berhati-hati.

Ia dilaporkan meneruskan ujian klinikal Britain bagi vaksin COVID-19, yang ditangguhkan apabila pesakit yang menjalani ujian jatuh sakit.

Pasaran mengalami prestasi bercampur-campur sepanjang minggu ini, namun berada dalam aliran meningkat susulan keyakinan terhadap penemuan vaksin COVID-19, data ekonomi China yang  kukuh dan prospek minyak mentah, walaupun laporan ekonomi Amerika Syarikat (AS) tidak begitu memberangsangkan.

Awal minggu ini, Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS Jerome Powell mengumumkan kadar faedah akan tetap tidak berubah pada hampir sifar dan mungkin dikekalkan sedemikian sekurang-kurangnya sehingga 2023.

Beliau juga mengingatkan mengenai unjuran ekonomi AS walaupun ia mencatatkan pemulihan lebih pantas berbanding jangkaan.

Fed juga telah menyemak turun unjuran pertumbuhan ekonomi AS bagi 2021 dan 2022 masing-masing kepada 4.0 peratus dan 3.0 peratus.

Bagi minggu ini juga, sejumlah besar data ekonomi China, laporan mengenai vaksin COVID-19 dan janji oleh beberapa bank pusat untuk melaksanakan lebih banyak rangsangan dengan harapan memesatkan kembali ekonomi masing-masing, telah meningkatkan bursa serantau, termasuk Malaysia.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI berakhir 1.78 mata lebih tinggi kepada 1,506.63 berbanding 1,504.85 pada minggu lepas.

Di papan skor, Indeks FBM Emas naik 86.14 mata kepada 10,837.62 daripada 10,751.48; Indeks FBMT 100 menokok 78.20 mata kepada 10,651.74 daripada 10,573.54; dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 194.53 mata kepada 12,837.07.

FBM 70 melonjak 359.64 mata kepada 14,032.03 manakala Indeks FBM ACE susut 94.13 mata kepada 10,651.74.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 96.10 mata kepada 12,569.35 namun Indeks Perladangan menokok 144.07 mata kepada 7,151.95 dan Indeks Teknologi naik 0.60 mata kepada 54.71.

Indeks Penjagaan Kesihatan menambah 180.43 mata kepada 3,613.35 manakala Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.36 mata kepada 136.70.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 33 bilion unit bernilai RM22.31 daripada 32.89 bilion unit bernilai RM24.87 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menyusut kepada 19.05 bilion saham bernilai RM17.29 bilion daripada 22.74 bilion saham bernilai RM19.94 bilion.

Jumlah dagangan waran pula turun kepada 3.56 bilion unit bernilai RM1.01 bilion daripada 4.04 bilion unit bernilai RM1.03 bilion.

Jumlah dagangan Pasaran ACE sebanyak 9.93 bilion saham bernilai RM4 bilion berbanding 12.99 bilion saham bernilai RM3.88 bilion pada minggu lepas.

Pasaran ditutup pada Rabu susulan cuti umum sempena Hari Malaysia. – MalaysiaGazette