KOTA KINABALU – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menepis dakwaan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal yang mengatakan parti itu mengamalkan politik wang ketika berkempen di Sabah.
Menyifatkan Shafie melakukan ‘reverse psychology’, Zahid pada masa sama berkata, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu maklum bahawa UMNO tidak berkemampuan dari segi kewangan sepertinya.
“Saya fikir soalan itu patut saya tanya dengan beliau, bukan beliau cakap kepada kita. Beliau tahu UMNO tidak ada duit sekarang, wang UMNO telah dibekukan dan ada wang yang banyak ialah beliau.
“Jangan lakukan ‘reverse psychology’ dengan mengatakan kita pula yang bagi duit, tanya diri beliau sendiri,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu Zahid ditemui di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Likas Darat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau.
Turut hadir Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan, Ketua Pemuda BN, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan calon DUN Darau Datuk Jumat Idris.
Ketika berkempen dari pentas ke pentas, Shafie dilihat beberapa kali mendakwa BN memberi wang untuk meraih hati pengundi Sabah. -MalaysiaGazette