Mohd Hatta Ramli

KUALA LUMPUR – Para pemimpin dan ahli-ahli peringkat akar umbi Parti Amanah Negara (Amanah) diingatkan supaya lebih berhati-hati dalam setiap perkara yang diperjuangkan dalam situasi semasa politik tanah air.

Setiausaha Agungnya Dr. Hatta Ramli berkata, ini kerana Amanah dan Pakatan Harapan sedang berdepan musuh kuat dan setiap langkah yang diletakkan perlu disusun secara berhati-hati.

“Ingat kita sekarang ini berdepan manusia jenis bukan ‘easy enemy’, setiap langkah akan disaingi mereka dengan lebih laju dan kehadapan daripada ketangkasan kita yang mendesak kita supaya bijak dan berhati-hati dalam menghadapi musuh politik.

“Malah Pilihan Raya Umum-15 boleh berlaku bila-bila masa dan jangan ambil ringan ‘ancaman’ itu yang dilontarkan (Perdana Menteri).

“Walaupun politik sekarang berbeza, ia bukan sekadar ancama tetapi ia membuat keadaan kita supaya bekerja lebih keras dan bersungguh-sungguh. Maka kita patut bersiap sedia dari sekarang untuk menghadapinya,” katanya di Konvensyen Sayap Pemuda dan Awan Amanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di ibu negara hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Amanah Lumut itu, perkara itu telah dibincangkan bersama pengerusi Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan untuk membuat segala persiapan menghadapinya.

Tambah beliau, bagi menangani saat-saat getir yang bakal mendatang itu, Amanah sebagai sekutu PH akan melakukan segala urusan pentadbiran peringkat kepimpinan tertinggi partinya untuk tindakan seterusnya.

Ujar beliau, walaupun PH telah kehilangan kerajaan tujuh bulan lalu, Amanah masih utuh dan padu daripada segi kepimpinan yang kini menjangkau usia lima tahun.

Beliau mengakui, usaha ke arah mendapatkan kembali mandat dan kepercayaan rakyat yang diberikan pada PRU14 lalu yang telah diambil menerusi pembelotan dan ditadbir oleh Perikatan Nasional.

Dalam pada itu kata Hatta, Amanah juga terpaksa membuat beberapa keputusan yang mungkin tidak memuaskan semua pihak dalam partinya sambil mengakui berikutan wujud tindakan beberapa pihak dalam parti melampaui batasan yang memaksa parti memecat mereka.

“Semua perlu ingat keputusan besar parti perlu datang dari kepimpinan tertinggi Amanah dan muktamad walaupun ahli-ahli di bawah menentang atau pandai berbahasa mengeluarkan pandangan bernas.

“Walaupun dalam parti diamalkan sikap keterbukaan meluahkan pandangan ia perlu rasional dan tidak terlampau mengkritik atau sensitif yang tidak mewakili pendirian parti..dan kita tidak perlu membuang masa layan atau menjawab kritikan atau pandangan pihak luar apabila datang pada kita sehingga melanggar disiplin parti.

“Sebaliknya beliau menyarankan para anggota parti supaya mara ke hadapan dengan politik matang dan bertamadun untuk memastikan wujud kesinambungan dalam Amanah negara,” katanya.

Tegasnya, tempoh tujuh bulan sebagai mantan kerajaan memerintah membantu Amanah menimba pengajaran pahit dan praktikal bahawa perkara itu boleh berulang lagi bila-bila masa akan datang.

Sehubungan itu katanya, semua kena berhati-hati dan bijak membaca suasana dengan baik dan perlu mengembalikan mandat PU14.

“Rakyat masih sebahagian besar beri kepercayaan kepada kita sehingga kini walaupun hilang kerajaan tujuh bulan lalu, maka ia harus dikembalikan secara adil,” ujarnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. APA PUN TERJADI KAMI TAK AKAN LUPA APA PAKATAN DGN DAP BUAT PADA KAMI.
    JANGAN BERHARAP DAN BERANGAN ANGAN NAK JADI KERAJAAN LAGI

Comments are closed.