KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) memandang serius dan mengarahkan tindakan tegas diambil susulan insiden parapet atau panel konkrit tembok sisi jambatan terjatuh dari struktur binaan projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), semalam.
Kejadian yang berlaku pada jam 5.45 petang itu telah menghempap sebuah kenderaan berhampiran Bandar Tasik Selatan di Jalan Lingkaran Tengah 2.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, insiden berkenaan tidak seharusnya berlaku dan kementeriannya tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan dan nyawa orang ramai.
Menurutnya, tindakan tegas akan diambil berdasarkan hasil siasatan yang dibuat.
Pada masa sama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) juga telah diarah supaya melaksanakan audit menyeluruh pada kadar segera ke atas kerja-kerja melibatkan keselamatan awam.
”Bagi Kementerian Kerja Raya (KKR) isu keselamatan ditempat kerja amat penting diambil perhatian dan dipatuhi oleh setiap pekerja yg terlibat dalam kerja-kerja pembinaan.
”Mereka bukan sekadar perlu tahu dan faham sahaja tetapi perlu mengimplikasi sepenuhnya sebelum, semasa dan selepas pembinaan.
”Kejadian parapet yang jatuh menimpa kenderaan awam semalam dapat dielakkan jika semua pihak terlibat mematuhi sistem dan prosedur kerja yang betul mengikut garis panduan kerja yang diluluskan dan mematuhi spesifikasi dan kontrak,” tegasnya.
Fadillah berkata, tindakan serta merta telah diambil dengan pihak pemaju utama MRCB Builders dengan memberi arahan memberhenti kerja kepada subkontraktor (Makna Setia Sdn Bhd) dan menutup lokasi kejadian untuk tujuan siasatan.
Katanya, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) juga sudah melawat lokasi kejadian semalam dan kementerian masih menunggu hasil hasil siasatannya.
LLM/KKR kini melaksanakan semakan keselamatan dan tindakan akan diambil untuk menyemak pelaksanaan tanggungjawab di semua peringkat sama ada di peringkat pemantauan, kualiti, rekabentuk dan metodologi kerja.
Fadillah berkata, kementeriannya telah mengeluarkan arahan kepada LLM dan Prolintas termasuk meneliti semula kaedah rekabentuk yang paling sesuai melibatkan struktur bagi meminimumkan risiko kepada orang awam dan pekerja dapat dikurangkan.
Selain itu, pemantauan dan kaedah kerja pihak perunding dan kontraktor perlu diteliti semula supaya keselarasan kaedah rekabentuk dan pemantauan di tapak dapat diseragamkan.
Kajian menyeluruh perlu dibuat oleh pihak pakar yang berpengalaman bagi mencapai rekabentuk terbaik untuk meminimumkan risiko semasa pembinaan yang melibatkan laluan trafik di jalan sedia ada.
LLM dan Prolintas diarahkan menyemak semula rekabentuk dan pembinaan yang melibatkan risiko kepada orang awam sebelum kerja-kerja disemua projek SUKE dan DASH dapat diteruskan semula. – MalaysiaGazette
Wanita cedera di tangan akibat kepingan konkrit jatuh menghempap kereta