KOTA KINABALU – Tidak sangka seorang yang bergelar pemimpin dan bercita-cita pula mahu memimpin sebuah negeri boleh bertindak sesuka hati termasuk mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap wira-wira negara.

Malah kata-kata penghinaan itu bukan sahaja terhadap anggota keselamatan yang bergadai nyawa mempertahankan keselamatan rakyat sebaliknya tempiasnya terkena kepada keluarga wira negara yang sudah terkorban.

Itulah luahan kekecewaan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Panglima Anifah Aman terhadap bekas Menteri Pelancongan juga pemimpin Warisan, Datuk Mohamaddin Ketapi kononnya pencerobohan Lahad Datu tahun 2013 hanya satu sandiwara.

“Saya terkedu, saya amat kecewa apabila melihat sendiri video klip ucapan Mohamaddin ini menghina terhadap anggota-anggota keselamatan Malaysia yang sanggup menggadaikan nyawa mereka demi mempertahankan kedaulatan negara.

“Adakah dengan menggadaikan nyawa mereka itu kamu katakan sebagai sandiwara? Kita semua berasa selamat dan dapat hidup dengan aman serta tenang kerana adanya pengorbanan golongan ini dan kamu cakap itu adalah sandiwara?

“Ingat ya, mungkin juga yang terlupa. Sepanjang peristiwa pertempuran Lahad Datu di Tanduo 2013, seramai 235 pengganas telah mendarat di bumi Sabah dari Pulau Siminul, Filipina.

“10 orang anggota keselamatan Malaysia telah terkorban dalam pertempuran tersebut termasuk dalam beberapa serangan hendap. Untuk pemimpin Warisan menyifatkan pengorbanan itu sebagai ‘sandiwara’ sesuatu yang langsung tidak boleh di terima sama sekali,” katanya hari ini.

Mohammadin didakwa memperlekehkan insiden Tanduo itu sambil berkata, anggota-anggota keselamatan ini sebenarnya bukan ‘berperang’ dengan pengganas sebaliknya hanya ‘berperang’ dengan ayam dan anjing.

Kata Anifah, ucapan sedemikian bukan sahaja menghina sebaliknya juga satu pengkhianatan yang tidak boleh sesekali dimaafkan.

“Mana rasa hormat pemimpin Warisan ini terhadap anggota-anggota keselamatan ini yang berkorban nyawa bagi mempertahankan kedaulatan bumi Sabah kita ini? Tidak rasa malukah untuk cakap sedemikian?

“Jelas sekali kenyataan yang telah dikeluarkan menunjukkan betapa buta mata serta hati pimpinan Warisan terhadap pengorbanan wira-wira negara sekaligus melukakan hati keluarga dan rakan-rakan seperjuangan anggota keselamatan kita.

“Perbuatan dan pengkhianatan sedemikian sama sekali tidak boleh diterima. Seharusnya parti Warisan bermuhasabah dan malu dengan kenyataan yang jijik ini. Rakyat seharusnya menolak pimpinan Parti Warisan yang sebegini,” tegasnya. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mohamaddin anggap kes Lahad Datu hanya sandiwara?

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast