KUALA LUMPUR – Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perniagaan mikro memerlukan lebih banyak dasar sokongan untuk terus bertahan, demikian menurut RAM Ratings.

Dalam kenyataan hari ini, ia berkata, berdasarkan kaji selidik terkini Keyakinan Perniagaan RAM, ekonomi terus mencatat prestasi lemah dengan prospek yang tidak menentu untuk tempoh tiga bulan akan datang.

“Keseluruhan Indeks Keyakinan Perniagaan RAM (RAM BCI) bagi suku ketiga 2020 mencecah paras rendah 33.7. Ini jauh di bawah mata neutral iaitu 50 dan mencerminkan gangguan yang melanda perniagaan kecil di tengah-tengah pandemik COVID-19,” katanya.

Tambahnya, hampir 90 peratus daripada responden kajian menyifatkan keadaan ekonomi yang lemah sebagai cabaran paling signifikan dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Menurutnya, kerajaan telah melaksanakan usaha yang baik untuk membantu PKS dan perusahaan mikro semasa pandemik itu.

“Ini termasuk moratorium pinjaman dengan 86 peratus daripada responden kajian telah menerima tawaran ini. Daripada jumlah itu, hampir 90 peratus memerlukan tempoh lanjutan selepas tamat tempoh (moratorium) pada 30 September ini berikutan kekangan aliran tunai,” katanya.

Katanya, lebih separuh daripada syarikat yang menyertai kaji selidik itu menyatakan, tanpa tempoh lanjutan itu, mereka akan mengalami impak negatif sama ada mengecilkan perniagaan atau menutup operasi, atau gagal membayar pinjaman.

“Kebanyakan responden turut menyatakan subsidi upah (68 peratus), subsidi pinjaman (62 peratus) dan geran (66 peratus) sebagai bantuan untuk mereka terus bertahan,” katanya.

Agensi penarafan itu berkata pendekatan bersasar oleh kerajaan berdasarkan saiz dan sektor syarikat merupakan kaedah terbaik untuk membantu syarikat.

“Tinjauan BCI menunjukkan pelanjutan tempoh moratorium itu amat berguna kepada PKS berikutan mereka mungkin mempunyai komitmen pinjaman yang lebih tinggi; lebih 85 peratus daripada PKS yang lebih besar memerlukan tempoh lanjutan itu berbanding 69 peratus perusahaan mikro,” katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, impak tidak mengambil tempoh lanjutan itu dilihat lebih memberi kesan kepada perusahaan mikro.

“Kira-kira 20 peratus daripada perusahaan mikro berkata mereka perlu menutup operasi berbanding hanya lapan peratus PKS,” katanya.

Katanya, di sebalik kesuraman itu, kajian itu turut menunjukkan daya tahan PKS dan perusahaan mikro — walaupun prospek yang suram dan cabaran yang menakutkan, kebanyakan syarikat yang menyertai kaji selidik itu mahu mengekalkan perniagaan seperti sedia ada berbanding mengecilkan operasi dalam tempoh tiga bulan akan datang.

“Ia juga menunjukkan bahawa perniagaan berharap agar permintaan akan pulih dalam jangka sederhana.

“Bagaimanapun, pembuat dasar perlu terus bekerjasama dengan PKS dan perusahaan mikro kerana mereka perlu memahami keperluan khusus dan menyediakan bantuan kewangan bersasar kepada PKS dan perusahaan mikro – tulang belakang ekonomi Malaysia – untuk melindungi mereka daripada krisis pada masa ini,” katanya. – MalaysiaGazette