Gambar hiasan

LONDON – Royal Dutch Shell merancang untuk mengurangkan sehingga 40 peratus kos pengeluaran minyak dan gas sebagai salah satu usaha utama untuk menjimatkan tunai.

Ini bagi membolehkan syarikat tersebut merombak perniagaannya serta memberi lebih fokus kepada tenaga boleh diperbaharui dan pasaran tenaga, kata sumber kepada Reuters.

Projek yang dinamakan Project Reshape itu dijangka selesai tahun ini dan bakal memberi kesan kepada tiga segmen utama.

Sebarang penjimatan katanya, akan menokok kepada sasaran AS$4 bilion yang telah ditetapkan susulan krisis Covid-19.

“Kami mempunyai model yang baik tetapi apakah ianya model yang tepat untuk masa hadapan?

“Terdapat pelbagai perbezaan dan ia bukan sahaja mengenai struktur tetapi juga budaya serta jenis syarikat yang kami mahu jadi,” kata sumber yang merupakan pegawai kanan Shell.

Tahun lepas, kos operasi keseluruhan Shell adalah AS$38 bilion manakala perbelanjaan modal adalah sebanyak AS$24 bilion.

Shell juga sedang meneroka cara untuk mengurangkan perbelanjaan pengeluaran minyak dan gas sebanyak 30 peratus hingga 40 peratus menerusi pengurangan kos operasi dan CAPEX projek-projek baharu, kata dua lagi sumber yang lain kepada Reuters.

Tambahnya, bahagian gas bersepadu yang menjalankan operasi gas asli cecair (LNG) dan pengeluaran gas juga sedang melihat cara untuk melakukan pengurangan.

Bagi segmen hiliran pula, semakan semula kepada pengurangan kos rangkaian 45,000 stesen perkhidmatan sedang dilaksanakan, kata sumber itu lagi.-MalaysiaGazette