Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM71.2 juta Skim Pemulihan Perniagaan Tekun telah disalurkan dan memanfaatkan 10,649 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro setakat 11 September lalu.

Skim ini diperkenalkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bagi membantu mengekalkan aliran tunai PKS Mikro untuk kekal beroperasi tanpa memberhentikan kakitangan.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, Pembiayaan Mikro Kredit Penjana di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan peruntukan sebanyak RM500 juta pula telah disalurkan kepada 1,146 PKS mikro pada tempoh yang sama.

Pembiayaan ini ditawarkan kadar faedah 3.5% serta pinjaman maksimum sehingga RM50,000.

Menurutnya, setakat 11 September lalu, sebanyak 2,566 permohanan pinjaman Pembiayaan PKS Penjana bagi PKS yang terkesan dengan Covid-19 telah diluluskan.

Kelulusan itu melibatkan sebanyak RM639.57 juta.

Menurutnya, untuk Program Subsidi Upah Penjana pula, sebanyak RM10.44 bilion subsidi upah telah diluluskan yang memanfaatkan lebih 2.6 juta pekerja.

Bantuan bagi Program Subsidi Upah kepada majikan ini yang asalnya untuk tempoh tiga bulan telah dilanjutkan selama tiga bulan tambahan di bawah Penjana menjadikannya enam bulan secara keseluruhan, bagi membantu syarikat serta pekerja yang terjejas selaras dengan pembukaan ekonomi secara berperingkat.

Manakala bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan, secara keseluruhannya seramai 33,688 pekerja (peningkatan daripada 28,577 minggu lalu) telah berjaya mendapat pekerjaan.

Jumlah ini merangkumi 25,752 orang di bawah umur 40 tahun, 4,324 orang bagi golongan berusia di antara 40 hingga 60 tahun, 256 OKU dan 3,356 perantis, ujar Menteri Kewangan itu.

Selain bantuan-bantuan di atas, Tengku Zafrul memaklumkan beberapa kementerian dan agensi telah menyelaraskan program memberi kemahiran semula dan meningkatkan kemahiran merentasi kementerian dan agensi berkaitan supaya dapat memenuhi kehendak industri di bawah Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran.

Program kemahiran ini berpotensi untuk melatih kemahiran baharu bagi tujuan pengekalan pekerjaan dan juga penerapan elemen keusahawanan untuk tujuan memulakan perniagaan.

Kementerian dan agensi yang telah memulakan inisiatif ini adalah Kementerian Pembangunan, Usahawan dan Koperasi, Pembangunan Sumber Manusia Berhad, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara, Majlis Amanah Rakyat dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC). – MalaysiaGazette