KUALA LUMPUR – Fasa peralihan monsun dijangka bermula pada 24 September ini dan berterusan sehingga awal November.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataannya kepada media hari ini memberitahu, permulaan fasa itu menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak 18 Mac lalu.
Dalam tempoh itu, langit biasanya cerah pada waktu pagi dan kawasan di rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai hala yang kondusif untuk pembentukan awan ribut petir pada sebelah petang.
“Semasa fasa peralihan monsun, keadaan cuaca yang lazim berlaku adalah ribut petir dan hujan lebat beserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat terutama pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan negeri di pantai barat serta pedalaman semenanjung.
“Ribut petir menyumbangkan jumlah hujan bulanan yang tinggi terutama di negeri pantai barat semenanjung dan keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan struktur yang tidak kukuh,” kata kenyataan itu.
Bagaimanapun, taburan hujan di semua negeri dijangka berada pada paras purata sepanjang tempoh monsun ini.
Justeru, orang ramai disarankan supaya mengelak dari berada di kawasan lapang dan menjauhi struktur yang tidak kukuh serta tidak menyentuh objek besi, barang atau kabel elektrik semasa berlakunya ribut petir.
Maklumat dan ramalan cuaca terkini boleh diperolehi melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial, RakanMET dan Hotline Jabatan Meteorologi Malaysia. – MalaysiaGazette