Michael Feichtenbeiner.

KUALA LUMPUR – Gara-gara kekalahan kekalahan mengaibkan 1-6 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengambil tindakan drastik dengan menamatkan khidmat ketua jurulatihnya, B. Sathianathan berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kenyataan FAS menerusi Facebook milik mereka, keputusan tersebut dibuat selepas pihaknya membuat penilaian dan mengambil kira semua aspek terutamanya prestasi semasa pasukan.

“Berikutan itu, tugas Ketua Jurulatih akan dipangku oleh Pengarah Teknikal kelab, Michael Feichtenbeiner sehingga Ketua Jurulatih yang baharu diumumkan.

“FA Selangor ingin mengambil peluang ini untuk merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada B. Sathianathan di atas khidmat beliau membawa pasukan Selangor ke tempat ketiga dalam saingan Unifi Liga Super 2019 serta mara ke peringkat Separuh Akhir Piala Malaysia musim lalu,” tulis kenyataan itu.

Keputusan tersebut sudah pun dijangka selepas Selangor yang berjaya mendapatkan beberapa pemain berprofil tinggi musim ini gagal menampilkan aksi yang menyakinkan sejak dari awal musim.

Malah beberapa keputusannya mengenai pemilihan pemain dan taktikal turut sering menjadi pertikaian penyokong setia The Red Giants dan pemerhati bola sepak tempatan.

Selepas mengharungi lapan perlawanan, Selangor sekadar mencatat dua kemenangan, empat seri dan dua kekalahan dan menghuni tangga ketujuh liga dengan sepuluh mata. – MalaysiaGazette