Para pengundi harus berhati-hati ketika menerima segala janji manis yang dibuat oleh mana-mana ahli politik atau parti politik sewaktu mereka menjalankan proses kempen pilihanraya mereka.- Gambar hiasan.

PARA pengundi perlu lebih berhati-hati dengan segala janji manis yang dikeluarkan oleh mana-mana ahli politik atau parti politik ketika mereka sedang menjalankan kempen politik mereka dalam menghadapi sebarang proses pilihan raya kerana segala janji-janji yang dikeluarkan khususnya melalui janji yang dibuat melalui manifesto pilihan raya belum tentu dapat dipenuhi sepenuhnya kerana status manifesto itu sendiri yang tidak diikat dengan kuasa undang-undang.

Kedudukan manifesto pilihanraya yang tidak diikat dengan kuasa undang-undang ini telah jelas ditentukan oleh pihak mahkamah. Jika kita masih ingat pada tahun 2013 yang lalu, pihak Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa sebuah manifesto pilihan raya tidak boleh dikuatkuasakan secara sah.

Berikutan keputusan penting itu, pihak mahkamah membatalkan saman sivil yang difailkan oleh 2,020 ibu tunggal di Selangor berhubung pembayaran elaun RM100 kepada mereka seperti terkandung dalam manifesto pembangkang pada pilihan raya umum 2008.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus yang bersidang bersama Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof membenarkan rayuan kerajaan Selangor dan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim ketika itu supaya mengetepikan keengganan Mahkamah Tinggi untuk membatalkan saman tersebut. Di dalam kes terbabit, hakim  bersetuju dengan hujahan bahawa manifesto itu bukan sebuah dokumen yang terikat di sisi undang- undang.

Seseorang yang tidak berpuas hati dengan kegagalan memenuhi janji pilihan raya tidak boleh menuntut untuk menguatkuasakan manifesto tersebut.

Dengan tiadanya kuasa undang-undang yang diikat terhadap manifesto pilihan raya ini, ahli politik atau parti politik akan mudah melemparkan apa- apa saja janji manis ketika kempen pilihan raya tanpa perlu ada rasa tanggungjawab memenuhi segala janji manis yang telah dibuat kepada pengundi.

Berdasarkan kedudukan manifesto yang tidak diikat dengan kuasa undang-undang ini, maka susahlah untuk pihak pengundi meminta calon yang telah berjaya memenangi proses pilihan raya untuk memenuhi segala janji yang dibuat ketika waktu berkempen.

Para pengundi harus berhati-hati ketika menerima segala janji manis yang dibuat oleh mana-mana ahli politik atau parti politik sewaktu mereka menjalankan proses kempen pilihanraya mereka.

Pada masa yang sama sudah sampai masanya kita mengambil satu langkah baru bagi memastikan setiap janji manis politik atau janji-janji manifesto yang dibuat ketika hadapi proses pilihan raya dalam negara kita dipandang serius oleh mereka yang membuatnya dan dipenuhi tanpa adanya sebarang alasan.

Mana-mana ahli atau parti politik yang membuat janji-janji manis khususnya melalui manifesto pilihan raya perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap semua janji yang telah dibuat oleh mereka di dalam manifesto pilihan raya.

Amat menyedihkan sekiranya sebarang janji yang telah dibuat di dalam manifesto pilihan raya tidak dipenuhi dan ditepati oleh mana-mana ahli atau parti politik setelah mereka memenangi proses pilihanraya dan memegang kuasa untuk memerintah.

Tindakan untuk melengah-lengahkan atau tidak memenuhi atau menepati janji yang telah dibuat di dalam manifesto pilihan raya menunjukkan dengan jelas sikap tidak hormat terhadap para pengundi yang telah memberi kepercayaan kepada mereka.

Dengan mengambil kira keadaan semasa kini, kita perlu melakukan proses penambahbaikkan bagi melindungi rakyat khususnya para pengundi daripada menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab sewaktu tibanya musim pilihan raya.

Pihak mahkamah diminta melihat semula status undang-undang yang diberikan terhadap manifesto yang dibuat oleh mana- mana ahli atau parti politik.

Setiap manifesto yang dibuat oleh mana- mana ahli atau parti politik perlu diikat dengan undang-undang supaya tindakkan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana ahli atau parti politik yang tidak memenuhi manifesto pilihan raya mereka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga disarankan mengambil langkah yang proaktif dalam mengatasi isu ini.

SPR perlu mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji isu manifesto pilihanraya ini untuk diberikan satu kuasa undang – undang terhadapnya.

Pindaan boleh dilakukan melalui sebarang akta sedia ada seperti Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] bagi menyelesaikan perkara ini demi melindungi hak dan kepentingan pengundi dalam negara kita.- MalaysiaGazette