KUALA LUMPUR – Permohonan maaf yang dizahirkan oleh Datuk Seri Shafie Apdal tidak mungkin mampu memulihkan hati setiap anggota keselamatan, ahli keluarga mereka dan seluruh rakyat Malaysia yang terguris dan terkesan dengan kenyataan yang dilemparkan Datuk Mohamaddin Ketapi.
Kenyataan itu bukan sahaja salah tetapi begitu sensitif sekali kerana membabitkan kedaulatan Sabah yang menjadi sebahagian Malaysia.
Majoriti rakyat di negara ini pastinya melihat kenyataan yang diungkapkan oleh bekas Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Seni itu terlalu kasar, memandangkan Malaysia kini sedang berdepan dengan tuntutan Filipina.
Lebih-lebih lagi, Shafie juga pernah mencadangkan agar Kerajaan Malaysia berunding dengan Filipina.
Penganalisis politik, Dr Jeniri Amir menyifatkan kenyataan Mohammaddin itu sebagai tidak bertanggungjawab langsung, seolah-olah mempermain-mainkan isu kedaulatan Sabah yang sepatut dipertahankan.
Sebagai pemimpin, Mohammaddin tidak patut mempergunakan isu kedaulatan negara sebagai tiket permainan untuk meraih undi.
Tindakan pemimpin kanan Warisan itu ternyata silap besar kerana kenyataan tersebut bukan sahaja menjejaskan reputasinya sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri Sabah, tetapi juga telah mencalar nama dan imej Warisan pada mata rakyat.
“Mohammaddin sebenarnya telah menyerahkan sendiri tengkuknya untuk dipancung, apatah lagi tempoh hari mengundi semakin hampir,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Kelmarin satu video tular di media sosial memaparkan ucapan Mohammaddin yang memperlekeh insiden di Kampung Tanduo itu dan mendakwa pencerobohan Lahad Datu pada tahun 2013 hanya satu sandiwara.
”Sandiwara bohong membunuh orang. Kamu ingat dahulu PRU yang lalu, dia bilang Filipina mau ambil Sabah, jadi ada peperangan, datanglah jet dibomnya kelapa sawit orang, habis semua kelapa sawit orang.
“Habis rumah orang, koyak ditembak, ini kenyataan. Disuruh kereta kebal masuk kampung suruh berperang sama ayam, ayam sama anjing lawan dia berperang, apabila habis pilihanraya tiada pula peperangan itu. Tetapi saya ingat, saya wakil rakyat Lahad Datu,” kata Mohammaddin yang juga calon DUN Segama dalam Pilihan Raya Negeri Sabah.
Susulan dikritik teruk oleh pelbagai pihak termasuk rakyat negara ini, Shafie yang juga Presiden Warisan dalam kenyataan di sini tampil memohon maaf kepada setiap anggota keselamatan, ahli keluarga mereka dan seluruh rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, kata Shafie kenyataan secara spontan oleh Mohammaddin itu telah disalah ertikan dan sama sekali tidak berniat untuk menghina perjuangan para perajurit serta anggota keselamatan yang mengorbankan nyawa mereka demi mempertahankan rakyat dan negara ini.
Dalam kenyataan itu, Shafie juga menyebut dalam berdepan pandemik Covid-19, beliau memahami dan menghargai peranan anggota keselamatan sebagai frontliners menentang musuh yang tidak kelihatan tetapi amat berbahaya.
Atas rasa tanggungjawab itu, beliau telah memperuntukkan RM10 juta dana kerajaan negeri untuk diagih-agihkan kepada semua frontliners termasuk RM1 juta kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan RM1 juta kepada Kem Lok Kawi.
Berhubung kenyataan itu, Jeniri berkata, peruntukan RM2 juta yang telah diagihkan kepada polis dan tentera tidak dapat mengubati kekecewaan dan rasa terguris setiap hati anggota keselamatan negara.
Malah, dengan permohonan maaf itu sebenarnya secara tidak langsung Shafie mengakui kesilapan yang dilakukan oleh Mohammaddin.
“Apa yang diboleh dilakukan oleh Warisan sekarang sekadar mengambil sikap defensif dan mempertahankan diri.
”Tetapi usaha mempertahankan diri selepas melakukan satu kesilapan besar yang tidak sepatutnya berlaku bukanlah mudah dan boleh dilupakan sekelip mata,” katanya. – MalaysiaGazette
insha ALLAH….WARISAN akan meWARISI kejatuhan dan musnahnya P akatan H ancing P unah H arapan 22bulan,
Dato shafie Afdal bersedia jadi ketua pembangkang Sabah