SHAH ALAM – Seorang mekanik dipenjara tujuh hari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menyertai lumba haram dan menunggang motosikal secara berbahaya, Ahad lalu.
Majistret Hanie Dzatul Akmar Zulkefli menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamad Amirul Asraf Rosli, 18, selepas tertuduh mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Dia berdepan hukuman penjara enam bulan, sekiranya gagal membayar denda itu, selain mahkamah turut memerintahkan tertuduh hilang kelayakan mendapatkan lesen selama dua tahun dari tarikh sabitan.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Amirul Asraf didakwa menunggang motosikal secara berbahaya, yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain di Kilometer 25, Lebuhraya Kesas di sini, jam 1.45 pagi pada Ahad lalu.
Dia yang hadir di mahkamah memakai jaket hitam, didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 atau tidak lebih RM15,000 serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farahin Sasaruddin dalam penghujahannya menegaskan kesalahan tertuduh adalah serius dan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan kepentingan awam.
Dalam kes sama, tiga remaja lelaki bawah umur turut mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini kerana menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya di sini awal bulan ini.
Ketiga-tiga remaja berkenaan iaitu dua daripadanya berusia 17 tahun, manakala seorang lagi berusia 16 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 25, Lebuhraya Kesas di sini, jam 1.45 pagi pada Ahad lalu.
Kesemua tiga remaja lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000, tidak lebih RM15,000 serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.
Mahkamah kemudian menetapkan 20 Oktober depan untuk kes itu disebut semula bagi membolehkan laporan akhlak ketiga-tiga tertuduh diperoleh dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebelum hukuman dijatuhkan.
Mahkamah turut membenarkan jaminan RM3,000 setiap seorang dengan masing-masing seorang penjamin. – MalaysiaGazette