Projek Solar Berskala Besar (LSS) kedua TNB di Bukit Selambau, Kedah (LSS Bukit Selambau) berkapasiti 30 megawatt (MW) mula beroperasi pada 8 September lalu.

KUALA LUMPUR – Projek Solar Berskala Besar (LSS) di Bukit Selambau, Kedah (LSS Bukit Selambau) telah mula beroperasi pada 8 September lalu – 114 hari lebih awal daripada jadual asal.

Pembinaan LSS Bukit Selambau mengambil masa selama 21 bulan termasuk hampir dua bulan penangguhan akibat Perintah Kawalan Pergerakan.

Loji tenaga solar berkapasiti 30 megawatt (MW) itu dilengkapi dengan 134,880 panel fotovoltaik solar dan 14 alat penyongsang (inverter).

Pada awalnya dijangka mula beroperasi pada 31 Disember 2020.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, meskipun berdepan cabaran akibat Covid-19,  LSS Bukit Selambau berjaya disiapkan sekali gus membuktikan pengalaman dan kepakaran TNB dalam pembangunan projek Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) khususnya projek loji tenaga solar.

”Permulaan tugas LSS Bukit Selambau yang lebih awal adalah satu bukti komitmen TNB dalam memacu penjanaan tenaga boleh diperbaharui untuk negara, termasuk keupayaannya dalam melaksanakan projek RE berskala besar.

”Sejajar dengan pemerolehan pegangan majoriti dalam Vortex Solar di United Kingdom (UK) baru-baru ini, ia meletakkan TNB sebagai peneraju RE domestik selain menjadi antara pemain RE ulung di rantau ini dan peringkat antarabangsa,” katanya.

Amir menambah, projek kedua LSS itu meningkatkan dan mengukuhkan kapasiti penjanaan solar berskala besar dalam negara dengan menyumbang 80MWac (123MWp) kepada Grid Nasional.

LSS pertama TNB di Sepang, Selangor (LSS Sepang Solar) berkapasiti 50MW telah memperoleh tarikh operasi komersial pada November 2018.

Projek LSS Sepang Solar dan LSS Bukit Selambau masing-masing dianugerahkan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) (kini Kementerian Tenaga dan Sumber Asli – KeTSA) melalui Suruhanjaya Tenaga menerusi Program Bidaan Kompetitif LSS 1 dan 2.

Kedua-dua stesen itu dibangunkan oleh anak syarikat milik penuh TNB, TNB Renewables Sdn. Bhd (TRe), yang terlibat dengan pengurusan aset, operasi dan pelaburan, serta bertanggungjawab menerajui aset dan projek tenaga boleh diperbaharui di Malaysia dan Asia Tenggara.

Amir berkata, pembinaan LSS Bukit Selambau mengambil masa 21 bulan termasuk hampir dua bulan penangguhan akibat PKP.

Pembinaannya dijalankan mengikut peruntukan oleh kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan, TNB Engineering Corporation Sdn. Bhd., satu lagi anak syarikat milik penuh TNB. – MalaysiaGazette