Armand Azha Abu Hanifah

KUALA LUMPUR – Rakyat tidak pernah lupa gerakan 16 September 2008 yang diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah.

Katanya, modus operandi 12 tahun lalu itu digunakan Presiden PKR itu tengah hari ini, apabila mengumumkan beliau mempunyai bilangan majoriti yang kukuh untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurut beliau, apa yang dilakukan Anwar pada sidang media khasnya di sebuah hotel di ibu negara merupakan sebahagian daripada gerakan untuk mendapatkan sokongan terakhir rakyat Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Apa yang saya lihat pada sidang media beliau tadi, adalah sebahagian daripada gerakan untuk mendapatkan sokongan terakhir bagi PRN Sabah Sabtu ini.

“Apabila Anwar kata PN runtuh kerana beliau ada sokongan majoriti Ahli Parlimen, sebenarnya itu adalah untuk memberi isyarat kepada rakyat Sabah supaya memberi sokongan kepada Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Anwar yang merupakan Presiden PKR bahawa beliau mempunyai majoriti yang kukuh untuk menukar kerajaan PN kepada kerajaan baharu pimpinannya.

Pengerusi PH itu mendakwa, beliau cuba untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong, semalam, tetapi baginda dilaporkan dimasukkan ke Insitut Jantung Negara (IJN) kerana mengalami masalah kesihatan.

Jelas Armand Azha, rata-rata kempen PH di Sabah menggunakan pendekatan Sabah For Sabah, sedangkan Parti Warisan Sabah (Warisan) pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersekongkol dengan DAP dan PKR.

Kata beliau, kempen mainan PH pada PRN Sabah itu ibarat mahu sokong kerajaan pusat atau kerajaan negeri?

“Ini satu budaya politik yang tidak sihat bagi sebuah negara, apabila mewujudkan perpecahan dalam perpaduan negara.

“Saya yakin rakyat Sabah, malah majoriti rakyat Malaysia matang dan bijak membuat penilaian mana yang baik dan mana yang tidak,” katanya.

Beliau berkata, rakyat tidak lupa penipuan dan fitnah oleh kerajaan PH sepanjang 22 bulan sebelum ini. – MalaysiaGazette