PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan tidak mencampuri pertikaian antara Persatuan Bola Sepak Malaysia dan Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) yang melibatkan pemain kebangsaan, Mohamadou Sumareh.
Timbalan Menterinya, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kementerian itu mengambil pendekatan tunggu dan lihat.
“Sebarang permasalahan antara badan persatuan dan pemain adalah urusan mereka sendiri yang perlu mencari titik penyelesaian.
“Jadi kita hanya ambil pendekatan memerhatikan situasi kedua-dua pihak dulu, sekiranya ada keperluan mungkin menteri (Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican) akan jawab soalan berbangkit,” katanya dalam sidang media di kementerian di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendekatan kementerian untuk menyelesaikan pertikaian perpindahan Sumareh ke kelab Liga Thailand.
Menurut Wan Ahmad Fayhsal, pihaknya akan terus memantau isu tersebut. – MalaysiaGazette