PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam membuat kejutan dengan mengumumkan dirinya sudah mempunyai sokongan besar ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Malah permintaannya untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong semalam namun terpaksa ditangguhkan kerana Seri Paduka dimasukkan ke Institut Jantung Negara.

Pengumuman Anwar itu bermaksud kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah tumbang.

Susulan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin PN lain mencabar Anwar  membuktikan beliau cukup majoriti dan ini bukan sekadar satu ulang tayang ‘Langkah 16 September’ pada tahun 2008.

Walau apa pun senario sebenar, hakikatnya pengumuman Anwar itu dilihat ramai penganalisa politik sebagai satu usaha untuk sabotaj Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 ini.

Ini juga adalah respon Anwar kepada PKR yang akur  dengan pengagihan hanya tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam PRN Sabah.

Jangan lupa juga dengan kemunculan secara tiba-tiba  Shafie sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) sekaligus menyaingi Anwar untuk jawatan tersebut sebelum ini.

Beberapa sumber terdekat dengan Presiden PKR memberitahu MalaysiaGazette, Anwar sebenarnya enggan mengulangi kesilapan dulu apabila beliau membiarkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kebebasan untuk buat apa sahaja termasuk memilih calon pilihan raya.

Akhirnya, ruang yang diberi Anwar dibuktikan satu kesilapan apabila Azmin menderhakainya.

Lagipun, Anwar berpendapat Shafie adalah calon proksi Tun Mahathir Mohamad memandangkan cadangan mencalonkan Shafie lahir kerana Mahathir tidak mahu Anwar menjadi Perdana Menteri.

Itu adalah punca Rafizi Ramli dipanggil balik oleh mentornya untuk pergi ke Sabah walaupun Rafizi sudah umumkan persaraannya daripada politik.

Menurut dakwaan sumber itu ‘tugasan’ Rafizi selain membantu calon PKR di Sabah, mungkin ada juga kaitannya dengan pengumuman hari ini.

Tujuan Anwar buat Langkah Kajang dulu untuk dilantik sebagai Menteri Besar Selangor supaya beliau mempunyai ‘pelbagai akses’ negeri dan boleh menggunakannya untuk membuktikan dirinya sebagai pemimpin berwibawa.

Namun demikian, impian Anwar tidak tercapai selepas didapati bersalah kerana kes liwat.

Akhirnya Azmin menggunakan peluang tersebut dan menonjolkan dirinya sebagai MB yang bagus akhrinya melonjakkan beliau ke jawatan de facto TPM hari ini.

Pengumuman hari ini pula memberi kesan kepada Shafie.

Ini kerana antara tema kempen Warisan Plus (Warisan dan PH) adalah membina persepsi Shafie bakal Perdana Menteri yang pertama daripada Sabah.

Semestinya ini akan membuat ramai pengundi untuk mengundinya walaupun tidak menyukainya kerana inginkan Sabah memperoleh seorang Perdana Menteri.

Rakyat Sabah harus ambil iktibar daripada perkembangan terbaru ini dan membuat pilihan bijak pada 26 September nanti.

Mereka harus elak situasi di mana politik Sabah bersandar kepada politik di Semananjung hakikatnya senario sebegitu tidak menguntungkan Sabah mahupun rakyatnya.

Persoalannya, berapa lama lagi Sabah harus bergolak kerana pertembungan ego ahli politik di Semananjung? – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.