SHAH ALAM – Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohammadin Ketapi boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Polis jika menghina pasukan polis serta Kanun Keseksaan seandainya menghina penjawat awam.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menegaskan, walaupun Mohammaddin menghina anggota keselamatan yang telah meninggal dunia, namun ia secara tidak langsung menghina anggota yang sedang bertugas.
“Kalau menghina tindakan polis, (boleh dihukum) di bawah Akta Polis, menghina penjawat awam di bawah Kanun Keseksaan pun ada.
“Walaupun orang itu sudah meninggal dunia, tapi dia cakap soal keselamatan, mestilah tentera dan polis.
“Masih ramai tentara dan polis yang masih hidup,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Isnin lalu, satu klip video tular di laman media sosial memaparkan Mohammaddin yang mempersendakan pasukan keselamatan ketika berkempen sehingga mencetuskan kemarahan semua pihak.
Beliau bagaimanapun tampil dengan permohonan maaf dan menjelaskan kenyataannya berhubung pasukan keselamatan seperti diucapkan beliau dalam klip video itu sudah disalah erti.
Musa juga menggesa Bukit Aman mempercepatkan siasatan bagi membolehkan pemimpin Warisan itu dihadapkan ke Mahkamah.
“Jangan ingat bila kita terlibat dalam politik, kita boleh membelakangi undang-undang atau kita lebih teratas daripada undang-undang.
“Tidak ada tindakan yang boleh diambil terhadap diri kita, kerana kita adalah orang politik.
“Semua (orang) di mata undang-undang semuanya sama, tidak ada sesiapa boleh melangkaui undang-undang,” katanya.
Tegasnya, tindakan Mohammaddin tidak boleh dimaafkan kerana ia bukan sahaja mengguris perasaan anggota keselamatan bahkan waris-waris yang kehilangan ketua keluarga dalam insiden berdarah di Lahad Datu, Sabah itu.
“Saya harap jangan politikkan kerana mereka mempunyai waris-waris yang masih hidup dan mereka ini akan terkesan dengan kenyataan-kenyataan yang ini.
“Sepatutnya kita memberikan penghargaan kepada waris-waris ini kerana mereka dan anak-anak bersedia berkorban bersama suami mereka yang terkorban,” katanya.
Katanya lagi, hukuman setimpal ke atas Mohammaddin bukannya satu tindakan balas dendam sebaliknya ia keadilan perlu selari dengan undang-undang.
“Saya harap tiada sesiapa yang memperlekehkan lagi tindakan-tindakan yang dibuat oleh pasukan keselamatan, anggota polis atau tentera.
“Mereka ini mengorbankan nyawa untuk menjaga keamanan dan keselamatan negara ini untuk keselesaan dan pembangunan dalam negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Polis harus tegas terhadap sesiape yg berbuat salah tanpe kira kaum, agame atau pendirian politik mereke. Ini ade lah dasar yg wajib dipatuhi, jika tidak undang2 negare akan di kutak katik dgn sewenang2nya dan lepas itu mibta maaf. Tiade maaf bgi mereka rule if law must prevail. Jgn di ambil enteng hal2 bagini.