Rafizi Ramli

PUTRAJAYA – Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail hari ini memperoleh kebenaran untuk merayu dalam kes saman fitnahnya terhadap Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Datuk Abdul Rahman Sebli, Puan Sri Zaleha Yusof dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Mohamad Salleh dengan persetujuan pihak yang terbabit dalam kes tersebut.

Abdul Rahman berkata terdapat empat persoalan undang-undang yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Terdahulu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Mohamad Salleh, memaklumkan bahawa selepas berbincang dengan Ranjit Singh, peguam Mohd Rafizi, kedua-dua pihak mencapai kata sepakat berhubung empat persoalan undang-undang itu.

Mohamad Salleh memohon kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada Mei tahun lepas yang memihak kepada Mohd Rafizi.

Mahkamah Rayuan telah membenarkan rayuan Mohd Rafizi untuk mengenepikan perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan beliau membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 kepada Mohamad Salleh dan syarikatnya.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer turut menolak rayuan balas Mohamad Salleh berhubung jumlah ganti rugi.

Mohamad Salleh turut diarah memulangkan sejumlah RM300,000 termasuk RM200,000 sebagai ganti rugi dan RM100,000 sebagai kos yang telah dibayar oleh Mohd Rafizi kepada beliau.

Pada 2013, Mohamad Salleh dan NFCorp mengemukakan saman itu selepas mendakwa Mohd Rafizi mengeluarkan kenyataan fitnah pada 7 Mac 2012 dalam sidang media di Pejabat PKR berhubung isu pembelian hartanah KL Eco City yang disiarkan Malaysiakini pada hari sama.

Pada 31 Okt 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Mohd Rafizi membayar ganti rugi sebanyak RM150,000 kepada Mohamad Salleh dan RM50,000 kepada NFCorp selepas membenarkan saman mereka terhadap Mohd Rafizi.

Mahkamah Tinggi bagaimanapun menolak saman Mohamad Salleh terhadap Malaysiakini.

— BERNAMA