KUALA LUMPUR – Kenanga Investment Bank Berhad (Kenanga) dengan kerjasama Merchantrade Asia Sdn Bhd (Merchantrade) memperkenalkan e-dompet broker saham yang pertama di Malaysia, Kenanga Money, dengan sokongan ciri kad prabayar Visa.
Sebagai sebahagian daripada perjalanan digitalisasi Kenanga yang berterusan, pengenalan Kenanga Money menandakan kemasukan bank pelaburan ini dalam sistem pembayaran tanpa tunai.
Kemudahan ini akan memberi kebebasan kepada pelanggannya untuk memindahkan dana dari akaun dagangan saham ke e-dompet dan kad prabayar dengan mudah bagi pembayaran runcit, pengiriman serta pengeluaran wang di seluruh dunia.
Pengguna juga akan menikmati kemudahan fungsi pelbagai mata wang yang inovatif yang membolehkan mereka membeli, menjual dan menyimpan sehingga 20 mata wang asing pada satu-satu masa, dengan kadar pertukaran yang kompetitif di Merchantrade.
Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga Investment Bank Berhad, Datuk Chay Wai Leong berkata, Kenanga Money akan dilancarkan secara berperingkat dalam beberapa bulan akan datang.
Menurut beliau, dengan hampir 300,000 pemegang akaun Kenanga, usaha digitalisasi firma ini memfokuskan pada peningkatan ekosistem untuk menghasilkan nilai tambah baharu buat pelanggan.
”Selari dengan itu, Kenanga Money bakal melengkapkan perancangan rangkaian penyelesaian digital kami semakin membangun, mensasarkan pada penyediaan
sebuah persekitaran bersepadu, lancar dan merangkumi pelbagai aspek untuk menampung capaian pelanggan kami yang kian meningkat,” katanya. – MalaysiaGazette