KUALA LUMPUR – Rakyat Sabah perlu memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) esok bukan untuk diri mereka sahaja, sebaliknya demi masa depan generasi akan datang tidak terjejas.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Mohamed Aris berkata, Sabah bukan hanya dipunyai rakyatnya namun negeri itu adalah milik rakyat Malaysia.
Jelas beliau, sentimen anti federalisme yang dimainkan parti lawan adalah tidak baik untuk hubungan Kerajaan Persekutuan dan Sabah yang akan menjejaskan perpaduan.
“PRN ini jugak tidak boleh dianggap mudah. Prestasi BN dapat diukur berdasarkan keputusan PRN Sabah untuk menilai sokongan rakyat dalam menghadapi PRU-15 akan datang.
“Lebih mustahak kita memerlukan sebuah parti yang mementingkan agenda pembangunan berteraskan kemakmuran ekonomi seperti yang dilakukan kerajaan BN di Sabah.
“Contohnya, sepanjang sembilan tahun pentadbiran Dato Seri Najib Razak, kerajaan telah peruntukan sebanyak RM10.2 bilion untuk pembangunan di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu menambah, agenda pembangunan dan kemakmuran ekonomi akan diteruskan serta ditambah baik apabila kerajaan BN Sabah berjaya dibentuk kerana parti itu mampu membela kebajikan rakyat.
“Pastikan timbangan kita undi rakyat Sabah. Selamat maju jaya buat Ketua UMNO Sabah, Dato’ Sri Bung Moktar Radin dan seluruh calon BN. Terima kasih juga kepada seluruh jentera BN khususnya UMNO Terengganu yang berkempen di sana,” katanya. – MalaysiaGazette