Foto hiasan

MELAKA – Enam individu termasuk seorang ibu kepada tiga anak ditahan selepas dikesan positif dadah hasil ujian saringan air kencing dalam sekatan jalan raya, operasi bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka di Jalan Syed Abdul Aziz, Kota Laksamana di sini, malam tadi.

Pengarah JPJ Melaka Muhammad Firdaus Shariff berkata mereka yang ditahan berumur antara 23 dan 43 tahun iaitu empat daripadanya positif dadah jenis methamphetamine, satu ganja serta satu heroin.

“Seorang lelaki daripada mereka yang ditahan merupakan ahli perniagaan dan tidak mempunyai lesen memandu serta disyaki memiliki dadah. Mereka akan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut selain kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pindaan 1998,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu, di sini, malam tadi.

Terdahulu, operasi bersepadu yang bermula kira-kira 8.30 malam hingga 12 tengah malam itu melibatkan seramai 103 anggota dan pegawai daripada pelbagai jabatan dan agensi.

Mengulas lanjut beliau berkata sebanyak 528 kenderaan diperiksa dan daripada jumlah itu 66 kenderaan diambil tindakan, 71 Notis Saman JPJ P(22) dikeluarkan selain dua kereta dan satu motosikal disita berikutan kesalahan tiada lesen memandu.

Muhammad Firdaus berkata pada operasi tersebut, kesalahan cermin gelap mencatatkan jumlah tertinggi dengan 103 kompaun dikeluarkan, diikuti tiada lesen memandu 32 kesalahan.

“Bagi lain-lain kes membabitkan tujuh dikesan tiada lesen kenderaan motor (LKM), tujuh kesalahan nombor pendaftaran serta empat lampu HID.

“Operasi penguatkuasaan ini dilaksanakan dalam usaha mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya serta memastikan undang-undang dipatuhi pengguna jalan raya,” katanya.

— BERNAMA