KUALA LUMPUR – Pakej-pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan dengan nilai keseluruhan RM305 bilion dijangka menyumbang sebanyak 3.7 peratus hingga 4.0 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, Kerangka Inisiatif Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Kita Prihatin) bernilai RM10 bilion yang diumumkan Perdana Menteri dua hari lalu pula dijangka memberi kesan positif kepada ekonomi negara pada suku keempat tahun ini.
Jelasnya, ini sekali gus meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang lebih baik untuk pemulihan ekonomi menjelang 2021.
“Pertumbuhan positif ini dijangka dicapai hasil daripada peruntukan RM10 bilion yang akan diberikan secara terus kepada rakyat dan perniagaan.
“Kerajaan juga menyasarkan kesan berganda antara bantuan di bawah Kita Prihatin dengan pakej-pakej rangsangan lain yang masih dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengambil contoh Bantuan Prihantin Nasional 2.0, beliau berkata, ia bukan sahaja mampu meringankan beban aliran tunai individu dan keluarga bahkan turut membantu ekonomi negara seperti kempen pembelian barangan Malaysia.
Manakala Bantuan Program Subsidi Upah 2.0 dan Geran Khas Prihatin akan membantu menjamin kelangsungan perniagaan dan pekerjaan yang memastikan aktiviti ekonomi dapat dijalankan dan produktiviti ditingkatkan.
Tambah Tengku Zafrul, walaupun perbelanjaan kerajaan dijangka meningkat disebabkan pelancaran pakej rangsangan tambahan itu namun, matlamat kerajaan katanya tetap konsisten untuk mengutamakan kesejahteraan hidup rakyat, kelangsungan perniagaan dan pengekalan pekerjaan terutamanya ketika berhadapan tempoh yang mencabar ini.
Kerajaan bagaimanapun pada masa yang sama tetap komited memastikan displin fiskal dipatuhi.
“Berdasarkan indikator-indikator pemulihan ekonomi yang dicatatkan baru-baru ini seperti penurunan kadar pengangguran, peningkatan Indeks Pengeluaran Perindustrian, Indeks Pelopor, dan juga sektor runcit dan rekreasi, Kerajaan yakin bahawa Kita Prihatin akan mengekalkan momentum pemulihan.
“Saya dan rakan kerja di Kementerian Kewangan sentiasa memantau pelbagai indikator ekonomi di tahap domestik dan juga global, untuk memastikan negara berada di landasan pemulihan ekonomi yang tepat, lagi kukuh,” katanya lagi.- MalaysiaGazette