Sabah akan berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Penggal ke-16 yang klimaksnya bakal berlangsung esok.- Gambar hiasan.

KRONOLOGI politik Sabah sejak keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 adalah titik mula kepada segala kekecohan  yang membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Sabah akan berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Penggal ke-16 yang klimaksnya bakal berlangsung esok.

Sikap lompat parti atau pun terma ‘katak’ sudah menjadi biasa dalam sejarah politik Sabah malah propaganda anti-katak mula menjadi bahan kempen dengan rancak dan tersusun pasca pembubaran DUN Sabah oleh Warisan.

Selain kos tinggi sebanyak RM186 juta oleh SPR sebagai kos PRN namun demi kesejahteraan rakyatnya dan impak jangka masa pendeknya kepada rakyat Sabah masih kekal sebagai satu tanda soal.

Keputusan membubarkan DUN Sabah ketika pandemik Covid-19 ini juga terbukti satu keputusan ‘kurang cerdik’ apabila orang yang membubarkan DUN Sabah sendiri oleh Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kemudian memohon maaf kerana keputusan tersebut.

Ianya adalah susulan kepada situasi di Sabah hari ini di mana jumlah kes Covid-19 dan kluster di situ meningkat hari ke hari.

Apa yang sangat menggusarkan rakyat Sabah hari ini adalah sekiranya PKP Fasa 1 dilaksanakan kembali di negeri itu kerana laporan terkini pandemik ketika ini semakin membimbangkan.

Warisan telah mewariskan sebuah ekonomi yang mencatatkan pertumbuhan paling tercorot di dalam sejarah dua kali berturut turut.

Itu mungkin adalah antara faktor kempen Mohd Shafie kali ini juga adalah tentang UMNO dan Malaya walaupun tampuk pemerintahannya telah mengemudi Sabah selama 26 bulan.

Bukankah wajar beliau dan Warisan berkempen atas merit dan bukannya masih berperangai seperti sebuah parti pembangkang di Sabah lagi?

Mohd Shafie cuba membangkitkan isu Yayasan Sabah untuk mengaitkan penyelewangan yang berlaku kepada  Datuk Seri Anifah Aman iaitu Presiden Parti Cinta Sabah dan abangnya, pemimpin UMNO, Tan Sri Musa Aman.

Pendedahan Mohd Shafie hanya mendatangkan publisiti negatif kepadanya apabila ramai mula menyoal kenapa beliau tidak membangkitkan isu ini dalam DUN ketika menjadi Ketua Menteri berdepan dengan pembangkang yang hanya ada beberapa kerat sahaja.

Perjuangan menuntut hak MA63 bukan keutamaan mereka maka wujudlah masalah di DUN yang akhirnya menyebabkan masalah tersebut tidak diselesaikan sehingga ke hari ini.

Dengan legasi pentadbiran dengan kekurangan sebegini, X faktor yang akan menetukan nasib Warisan esok adalah sebagai kerajaan atau pembangkang.

Hubungan BN dan UMNO dengan parti lain akan di lihat sebagai satu faktor utama sekiranya GRS / BN gagal untuk menang esok meskipun Warisan adalah sebuah kerajaan yang gagal.

Harus diperingati Perikatan Nasional (PN) dan sekutunya hanya berjaya mecapai konsensus mengelak pertembungan calon sekurang-kurangnya dalam 11 kerusi kurang 24 jam sebelum proses penamaan.

Kenyatan Tan Sri Muhyiddin Yassin calon Ketua Menteri juga berjaya memaparkan hubungan tidak senang di antara pakatan ini.

Ianya amat berbeza dengan cara gerak Warisan Plus yang turut menghadapi isu pengagihan kerusi di antara mereka di mana calon Ketua Menteri mereka adalah Shafie.

Walaupun ianya tidak kelihatan secara ketara, isu calon Ketua Menteri masih membelenggui pakatan di antara BN dan PN dalam PRN ini.

UMNO Sabah diberi autonomi penuh untuk menentukan hala tuju mereka sendiri dalam PRN ini dengan menamakan majoriti calon muda.

Menurut kenyataan rasmi BN, mereka buat sedemikian untuk menampilkan calon baru walaupun hakikatnya ianya berlaku kerana pertembungan di antara Datuk Seri Bung Mokhtar Radin dan Musa.

Kenyataan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan terhadap Bung Mokhtar membuktikan all is not well di BN, PN dan GRS.

Mungkin kerana itu ‘Bossku’ terpaksa berkampung di Sabah dan bermain peace keeper di antara puak bertelagah.

Namun demikian, video Vivenoah Mosebin telah menjadi satu sensasi internet dan berjaya membawa masalah lama dalam bentuk baharu kepada UMNO dengan impaknya dirasai UMNO iaitu kerajaan sebelum ini.

Walaupun Warisan mempunyai pelbagai kelemahan yang tidak harus diundi kembali namun pengundi Sabah lebih marah kepada kerajaan BN yang memerintah mereka sehingga tahun 2018 lalu.

Ini adalah punca Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Khairy Jamaluddin Abu Bakar daripada UMNO dan Muhyiddin sendiri terpaksa mengadakan perjumpaan dengan Viveonah bagi damage limitation.

Ini kerana isu Vivenoah mula mencetuskan soalan bagaimana sebuah negara yang ada Twin Tower ‘tersohor’ di Kuala Lumpur masih tidak mampu untuk majukan kawasan-kawasan pedalaman.

Perkhidmatan internet hari ini bukan satu keistimewaan tetapi adalah satu keperluan!

Maka, kemarahan dan kebencian terhadap BN yang disemarakkan dengan fitnah PH sebelum PRU-14 kembali berputik.

Dengan pergolakan dalam dan luar di antara dua gergasi politik Sabah ini, kemunculan Parti Cinta Sabah (PCS)  sebagai ‘dark horse’ adalah tidak hairankan walaupun mengejutkan.

Ini kerana rakyat Sabah sudah muak dengan politik katak dalam sejarah mereka gusar untuk memberikan sokongan mereka kepada parti lain selain daripada BN dan PH.

Kebimbangan mereka adalah wajar dan ianya boleh di lihat dengan UPKO pada 2018 selepas rakyat memberikan sokongan dan memenangkan mereka 3 kerusi.

Sejauh mana pengaruh Anifah di Sabah akan diketahui esok, beliau yang merupakan mantan Menteri Luar mengambil tindakan berani meletakan 73 di kesemua kerusi DUN PRN kali ini.

Tambahan pula PCS bakal melakukannya secara solo dan sebagai sebuah parti lokal pemerhati politik yang prihatin terhadap Sabah inginkan parti ini sekurang-kurangnya mempunyai bilangan cukup dalam DUN.

Untuk menuntut apa yang Sabah di peruntukkan di bawah MA63, Sabah memerlukan Ketua Menteri yang tidak berkuasa di atas kerelaan parti daripada Malaya seperti BN dan Warisan.

Anifah mungkin adalah calon terbaik untuk jawatan ini memandangkan peranan yang telah di mainkan olehnya bukan sahaja di peringkat persekutuan sebaliknya juga arena antarabangsa.

Analisa di sini adalah berdasarkan pemerhatian mata kasar dan pendekatan penulis dengan rakyat Sabah selama tiga minggu ini.

Pilihan seperti biasa bakal dibuat rakyat Sabah esok di bawah norma baru dengan keadaan Covid-19 terus ‘mengganas’ di negeri ini.

Apa jua keputusan yang bakal berlaku, dijangka akan berlaku lebih banyak ‘drama’ selepas ini di Sabah.

Nasib dan masa depan Malaysia di tangan rakyat Sabah esok dengan plot-plot yang bakal tercipta keranaya akan menjadi penentu nasib rakyat dan ekonomi Sabah esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast