Seorang bapa bersama empat anak solat Asar di luar pekarangan Masjid Besi, Putrajaya, semalam.

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan berbincang dengan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung aduan seorang bapa dilarang membawa anak bawah 12 tahun sembahyang di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, semalam.

Katanya, hasil dari perbincangan itu akan dibawanya ke Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mendapatkan pandangan serta prosedur standard operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang masih tidak membenarkan kanak-kanak sembahyang di masjid.

“Nanti saya akan masukkan dalam (mesyuarat) MKN untuk diperhalusi. Sebelum itu, saya akan dengar dengan tertib perbincangan dengan Majlis Fatwa Kebangsaan dahulu.

“Kita akan tengok (tangani) dengan cara lebih berhikmah dan berhemah,” katanya menjawab soalan wartawan mengenai kes itu.

Semalam, viral di media sosial aduan seorang bapa yang membawa empat anaknya ke kompleks beli belah di Alamanda, Putrajaya.

Selepas itu, katanya, beliau bergerak ke Masjid Besi bersama anaknya hendak solat Asar, tetapi dilarang oleh pengawal keselamatan kerana kanak-kanak itu di bawah 12 tahun.

“Tak tahu pula kanak-kanak bawah 12 tahun tak dibenarkan masuk walaupun pakai mask, bawak sejadah.

“Tak mengapa, dengan berhemah ustad minta pengawal keselamatan nak masuk tandas saja sebab anaknya hendak buang air.

“Alhamdulillah, dapat masuk tandas, tunaikan ‘hajat’ dan berwuduk. Kami dirikan solat dekat luar saja pun. Tidak ada orang halau,” tulis lelaki itu.

Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri bercakap pada Majlis Pelancaran Projek Bakul Rezeki Khaira PPZ di Dewan Persatuan Penduduk, PPR Pantai Ria, Pantai Dalam Lembah Pantai, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 26 SEPTEMBER 2020

Menurut Dr. Zulkifli, beliau akan cuba melakukan atau menyelesaikan kes itu secara terbaik supaya orang ramai tidak menganggap larangan yang dikenakan terhadap kanak-kanak bawah 12 tahun ketika tempoh PKPP ini, umpama dihalau.

“Tindakan yang kita nak buat pun tidaklah orang nak solat kita halau, tak sesuai. Mungkin kita nasihat atau beritahu, kemudian bolehlah (solat) ditempat yang baik dan sesuai, tetapi konsep agama ini sentiasa dalam bentuk semua rasa tenang,” katanya. – MalaysiaGazette