Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- FGV Holdings Bhd. (FGV) menegaskan syarikat itu tidak terlibat dalam mengambil pelarian sebagai pekerja.

Dalam satu kenyataan, syarikat peladangan sawit terbesar negara itu memberitahu, ia merekrut pekerja asing kebanyakannya dari India dan Indonesia menerusi saluran yang sah dan diluluskan oleh kerajaan Malaysia serta negara yang berkenaan.

Setakat Ogos 2020, FGV mempunyai 11,286 pekerja Indonesia dan 4,683 pekerja India yang sekali gus menjadikan mereka sebagai majoriti pekerja ladang milik syarikat tersebut.

Tambahnya, FGV juga tidak mengambil pekerja kontrak dan semua pekerjanya adalah dimiliki secara langsung oleh syarikat.

“FGV sekali lagi ingin menyatakan komitmen penuh kami dalam menghormati hak asasi manusia dan menjunjung standard buruh.

“Sejajar dengan komitmen kami terhadap Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan Garis Panduan Perniagaan dan Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGP), kelestarian dan hak asasi kekal menjadi agenda utama kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, bagi memastikan komitmen untuk menjaga kesejahteraan dan hak pekerja, FGV telah melabur kira-kira RM350 juta dalam tempoh tiga tahun untuk menaik taraf kemudahan perumahan pekerja serta membayar gaji sekurang-kurangnya memenuhi paras gaji minimum selari dengan Perintah Gaji Minimum 2020 yang dilaksanakan oleh kerajaan.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast