KUALA LUMPUR – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) secara tidak rasmi sudah berjaya menubuhkan kerajaan negeri apabila memenangi 38 kerusi Dewan Undangan (DUN) sehingga jam 9.20 malam ini.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sesebuah parti di Sabah boleh membentuk kerajaan sekiranya memenangi 37 daripada 73 kerusi yang dipertandingkan.
Keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hari ini, Barisan Nasional (BN) menang 15 kerusi DUN, diikuti Perikatan Nasional (PN) iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 10 kerusi, Parti Bersatu Sabah (tujuh) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) sebanyak enam kerusi.
Kerusi dimenangi BN ialah DUN Tanjung Batu, Sugut, Sukau, Lamag, Tempasuk, Sungai Sibuga, Pantai Manis, Usukan, Sungai Manila, Darau, Karambunai, Pantai Dalit, Bengkoka, Balung dan Tanjung Keramat.
Bersatu pula memenangi kerusi DUN Karanaan, Labuk, Sulaman, Kuala Penyu, Nabawan, Bandau, Klias, Tandek, Membakut dan Kawang.
STAR menang kerusi DUN Bingkor, Tambunan, Liawan, Tulid, Sook dan Paginatan, manakala PBS kerusi DUN Kundasang, Kiulu, Tamparuli, Telupid, Tandek, Pintasan dan Matunggong.
Menurut Dr. Asyraf, setakat ini BN dan PN memenangi 38 kerusi untuk melayakkan parti gabungan itu menubuhkan kerajaan baharu.
Beliau turut bersyukur dengan kemenangan anggota Exco Pemuda UMNO, Andy Mohammad Suryady Bandy yang bertanding di DUN Tanjung Batu.
“Saya berharap beliau dapat berkhidmat dan berbakti dengan penuh dedikasi, berintegriti dan cemerlang demi amanah Allah, serta harapan rakyat Tanjung Batu yang telah memberikan kepercayaan kepadanya,” katanya menerusi hantaran Facebooknya malam ini. – MalaysiaGazette
Tahniah!!! Aku sangat gumbira ba.. Sebab warisan bungkus.