KOTA KINABALU – Tiga jam sebelum proses pengundian berakhir, sebanyak 54 peratus pemilih berdaftar di Sabah telah keluar mengundi setakat 2 petang tadi, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Jumlah itu meningkat berbanding 48 peratus pada 1 tengah hari.
SPR menyasarkan antara 70 hingga 75 peratus pengundi menunaikan tanggungjawab mereka sehingga pusat pengundian ditutup sepenuhnya pada 5 petang ini.
Sebanyak 2,540 saluran di 741 pusat mengundi dibuka di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan rakyat Sabah memilih kerajaan baharu pada PRN ke-16.
Proses pengundian yang melibatkan 1,088,711 pengundi biasa, dikendalikan 17,257 petugas pilihan raya sehingga waktu mengundi tamat.
— BERNAMA