Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit akan mencecah paras tertinggi dari bulan ke tarikh 4.1757 semasa ia menuju ke arah purata bergerak 50 hari (MA), yang ketika ini berada di sekitar paras 4.19.

Penganalisis pasaran FXTM, Han Tan berkata, pasangan mata wang 50-MA itu belum benar-benar teruji sebagai tahap rintangan sejak awal Jun lepas apabila ia tidak lagi berperanan sebagai tahap sokongan utama, tetapi peningkatan dalam ketidaktentuan politik atau penukaran risiko mungkin akan menjadi penyebab utama.

“Bagaimanapun, tahap psikologi 4.10 boleh kembali menjadi tumpuan dalam tempoh terdekat sekiranya senario kebimbangan politik beransur kurang dan selera risiko pelabur boleh menjadi penyebab peningkatan,” katanya kepada Bernama.

Peserta pasaran dijangka akan memberi perhatian kepada perdebatan Presiden Amerika Syarikat (AS) yang tersiar kali pertama dalam televisyen iaitu antara Donald Trump dan pencabar Demokratik, Joe Biden.

Dengan pilihan raya yang akan berlaku pada November ini, ia dijangka menjadi pertembungan yang terhebat bagi Rumah Putih dalam masa setahun, yang mana, penting bagi pelabur untuk mencuba dan mendapatkan hasil yang berpotensi seawal mungkin.

“Bagaimanapun, data ekonomi China yang lebih baik daripada jangkaan termasuk peningkatan daripada kemungkinan pusingan seterusnya dalam kelulusan rangsangan fiskal AS yang lebih cepat boleh membantu selera risiko mengatasi cabaran politik dan ekonomi yang mengaburi sentimen pelabur,” katanya lagi.

Tan ketika mengulas mengenai prestasi ringgit untuk minggu ini berkata ringgit mencipta paras terendah dalam tujuh bulan berbanding dolar US, hanya untuk mengundurkan lagi disebabkan beberapa faktor yang telah menjejaskan mata wang tempatan itu.

“Pemulihan dolar US dan jangkaan pengunduran teknikal dalam ringgit berlaku di tengah-tengah ketidaktentuan politik domestik, yang mana, secara bersama menyumbang kepada penurunan mingguan sebanyak lebih satu peratus bagi mata wang Malaysia, manakala mata wang Asia secara kolektif merosot berbanding dolar US,” katanya.

Beliau menyatakan keputusan FTSE Russell untuk meletakkan bon Malaysia dalam senarai pemerhatiannya, bagaimanapun, mengekalkan kunci ke atas ringgit dalam bulan-bulan yang akan datang.

Dari Jumaat ke Jumaat, ringgit menyusut berbanding dolar US kepada 4.1650/1700 daripada 4.1100/1150 yang direkodkan dalam minggu sebelumnya.

Ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.0264/0307 daripada 3.0299/0347 tetapi jatuh berbanding yen kepada 3.9490/9549 daripada 3.9398/9450.

Mata wang tempatan itu naik berbanding pound British kepada 5.3008/3088 daripada 5.3340/3421 dan melonjak  berbanding euro kepada 4.8489/8564 daripada 4.8712/8787. – MalaysiaGazette