Rakyat Sabah telah membuat keputusan dan semoga keputusan tersebut dapat dihormati agar dapat membentuk sebuah kerajaan yang lebih stabil untuk mereka.- Gambar hiasan.

PILIHAN RAYA umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei 2018 yang lalu sepatutnya menjadi titik permulaan sebuah ‘Malaysia Baharu’ berikutan kekalahan Barisan Nasional (BN) yang telah lebih 60 tahun mendominasi pemerintahan negara.

Kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada masa itu dilihat ramai sebagai satu fajar baharu dalam paradigma politik negara.

Akan tetapi, ‘Malaysia Baharu’ hanya berjaya menjadi sebuah kekecewaan tidak dijangka.

Momentum PH yang membawa mereka ke tampuk kepimpinan terbantut memasuki tahun 2019 berikutan kegagalan PH menunaikan janji manifesto, keinginan meluluskan ICERD dan kemuafakatan terjalin di antara BN serta Pas sehingga tertubuhnya Muafakat Nasional (MN).

Pada tahun 2020, tsunami politik telah menenggelamkan BN dua tahun lalu membadai PH pula kali ini apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sehingga kartel Datuk Seri Mohamed Azmin Ali seramai 10 orang ahli Parlimen isytihar keluar daripada PH.

Pengerusi Perikatan Nasional Sabah, Datuk Hajiji Noor berjalan keluar ketika menghadiri perbincangan mengenai lantikan Ketua Menteri Sabah yang baharu selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Sabah di The Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 27 SEPTEMBER 2020.

Percaturan politik tersebut yang kita kenali sebagai ‘Langkah Sheraton’ akhirnya menyaksikan kerajaan PH tumbang dan Tan Sri Muhyiddin Yassin diangkat menjadi Perdana Menteri menerusi gabungan Perikatan Nasional (PN).

Respon dari Langkah Sheraton turut menyaksikan peralihan kuasa kerajaan-kerajaan negeri seperti Perak, Melaka, Kedah dan Johor.

Implikasi Langkah Sheraton turut di rasai di Negeri Bawah Bayu apabila Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selaku Ketua Menteri hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada akhir Julai.

Apabila berdepan dengan senario musuh tradisinya, Tan Sri Musa Aman daripada BN diangkat semula sebagai Ketua Menteri, Mohd Shafie dengan segera memutuskan untuk membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri yang di adakan semalam.

Sekali imbas, Mohd Shafie dilihat mengorak satu strategi bijak membendung kemaraan musuh politiknya ke puncak kuasa dan rela berdepan dengan risiko penularan pandemik Covid-19 daripada menyerahkan kuasa kepada Musa begitu sahaja.

Perhitungan Mohd Shafie dibuat berdasarkan keyakinan rakyat akan menjulang Warisan Plus iaitu gabungan daripada beberapa parti dari Semenanjung iaitu PKR, DAP dan Amanah serta parti tempatan, Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) kembali sebagai kerajaan.

Tambahan pula, penambahan 13 kerusi baharu yang diluluskan oleh kerajaan Mohd Shafie sejurus selepas dilantik Ketua Menteri Sabah dijangka akan memberi kelebihan kepada Warisan Plus sebagai pemerintah.

Namun demikian, GRS berjaya menawan sembilan daripada 13 kerusi baharu yang dipertandingkan di mana lima kerusi dimenangi BN, tiga kerusi di miliki PN dan satu kerusi diperoleh Parti Bersatu Sabah (PBS).

Baki empat kerusi lain adalah milik Warisan Plus iaitu di Dun Darau, Limbahau, Segama dan Kukusan

Kegagalan merasai denyut nadi rakyat di 13 kawasan baru ini di lihat penganlisa politik sebagai faktor utama parti gabungan Shafie tewas sekali gus menyaksikan Mohd Shafie tersungkur dari puncak kuasa selepas memerintah Sabah selama 29 bulan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berjalan keluar ketika menghadiri perbincangan mengenai lantikan Ketua Menteri Sabah yang baharu selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Sabah di The Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 27 SEPTEMBER 2020.

Realiti rakyat Sabah miskin, pengangguran tinggi, jurang pendapatan melebar dan ekonomi lembap di lihat sebagai faktor yang menyebabkan Warisan dan Mohd Shafie ‘terbabas’ secara teruk kali ini.

Alasan Mohd Shafie menuding jari kononnya salahkan Covid-19 sedangkan ekonomi Sabah menjunam sejak 2018 dan 2019 tidak berjaya memperdayakan rakyat Sabah seperti pra PRU-14 dahulu.

Mohd Shafie dan Warisan Plus cuba mengangkat semangat ‘Sabah untuk Sabahan’ untuk mengaut undi dan menutup kelemahan pentadbiran negerinya tetapi keputusan malam tadi memberi tamparan balas hebat kepada bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar itu.

Rakyat Sabah berpendapat sekiranya Mohd Shafie jujur untuk memperjuangkan semangat berkenaan beliau akan tolak terus parti dari Semenanjung iaitu PKR, DAP dan Amanah dalam sekutunya.

Rakyat Sabah juga tertanya-tanya apakah tujuan melaungkan slogan tersebut memandangkan Shafie tidak berjaya menunaikan janjinya untuk kembalikan hak Sabah di bawah MA63 sebelum ini.

Dalam erti kata lain, rakyat Sabah tidak mahu lagi bermain dengan retorik politik semata-mata sebaliknya hendak melihat kepimpinan yang berkesan bukannya pemimpin kuat sembang.

Kekalahan Warisan dan Mohd Shafie semalam jelas menunjukkan PH dan sekutunya yang berjaya menumbangkan BN dahulu tidak belajar daripada kesilapan mereka sebelum ini yang menjadi punca mereka hilang kuasa.

Mereka lebih gemar mempermainkan retorik politk seperti ‘politik katak’ dan ‘kerajaan pintu belakang’ daripada memperbaiki kelemahan mereka.

Ketaksuban pakatan tersebut terhadap kuasa yang belum redha turut diperhati rakyat berikutan pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa dirinya mempunyai majoriti dan pergelutan untuk mendapatkan kerusi di kalangan mereka.

Kesemua itu akhirnya telah membinasakan Warisan dan PH sendiri kerana hakikatnya Mohd Shafie sepatutnya mengambil iktibar daripada kekalahan.

Tetapi nampaknya keputusan Mohd Shafie mengaku kalah semalam jelas menunjukkan beliau masih berdegil untuk buat apa jua untuk kembali berkuasa termasuk kemungkinan ‘melanggan katak politik’ sekali lagi?

Kepada mereka yang menang, masa bekerja telah tiba memandangkan GRS telah membuktikan bahawa kesepakatan itu pasti akan membawa kepada kejayaan.

Muafakat BN, PN dan PBS adalah kunci kepada kejayaan ini.

Rakyat Sabah telah membuat keputusan dan semoga keputusan tersebut dapat dihormati agar dapat membentuk sebuah Kerajaan yang lebih stabil untuk mereka. -MalaysiaGazette